Selasa, 22 Oktober 2013

Berpoligami - Tidak semudah menyebutnya

Tarikh Hijrah : 17 Zulhijjah 1434

Sistem poligami sudah berlaku sejak sebelum kedatangan Islam lagi, antaranya diamalkan oleh bangsa Ibrani dan Arab Jahiliah yang melahirkan sebahagian besar penduduk negara Rusia, Lithuania, Yusgoslavia dan sebahagian orang Jerman yang menghuni Belanda, Denmark dan negara Inggeris pada hari ini. Malah poligami juga tersebar ke negara bukan berpenduduk Islam seperti India, China dan Jepun, sekaligus memecahkan tanggapan bahawa poligami amalan orang Islam sahaja.
     Walaupun berpoligami dibolehkan dalam Islam tetapi ia bukanlah wajib atau sunnah. Bagaimanapun poligami dihadkan kepada empat orang sahaja kerana angka itu rasionalnya dianggap memadai kepada orang seorang lelaki.
     Firman Allah dalam Surah an-Nisa:3, "Jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain - dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah seorang sahaja atau pakailah hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.  Yang demikian itu lebih dekat kepada tidak berbuat zalim."
     Poligami menuntut keadilan yang nyata kerana Rasulullah pernah bersabda, dalam hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah, "Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri lalu memberatkan salah satunya, maka dia akan datang pada hari kiamat dengan bahu senget."
     Adil yang dimaksudkan adalah dalam bentuk kemampuan mengadakan keperluan fizikal, tidak termasuk dalam hal cinta atau kasih sayang. Ini kerana masalah kasih sayang, terletak di luar kemampuan seseorang. Muhammad bin Sirin berkata, "Saya bertanya mengenai ayat ini kepada Ubaidah." Jawabnya, "iaitu dalam soal cinta dan bersetubuh."
     Abu Bakar bin Arabiy pernah berkata, "Memang benar adil dalam cinta di luar kemampuan seseorang. Ia dalam genggaman Tuhan yang boleh membolak-balikkan mengikut kehendak-Nya. Begitu juag dalam soal persetubuhan, kadang-kadang dia ghairah dengan isteri yang satu, tapi tidak dengan isteri yang lain. Asalkan perbuatan itu tidak disengajakan, dia tidak berdosa kerana ia di luar kemampuan."
     Saidatina Aisyah pernah berkata, "Rasulullah selalu membahagikan giliran antara isterinya dengan adil. Baginda selalu berdoa, Ya Allah, ini bahagianku yang dapat kukerjakan. Kerana itu, janganlah Engkau mencelaku tentang apa yang Engkau kuasai, sedangkan aku tidak menguasainya." Dalam konteks ayat ini, 'Engkau kuasai tetapi aku tidak menguasai' merujuk kepada hati. (Rujukan:Fikh Sunnah oleh Sayid Sabiq, Jilid 5-8).




- Sumber dari NUR Januari 2003 -