Tarikh Hijrah : 17 Zulhijjah 1434
Berpoligami merujuk kepada suami yang beristeri lebih daripada seorang. Isu ini dilihat sebagai sesuatu yang amat sensitif dibicarakan secara terbuka. Alasan longgar dan sering diberikan ialah takut menyinggung perasaan mereka yang terlibat. Bagaimanapun persoalan ini tetap diperkatakan dan ia timbul dan tenggelam begitu sahaja.
Walau apapun pendekatan mengatasinya, kerjasama dari semua pihak terutama suami dan isteri-isteri amat penting bagi memastikan ikatan perhubungan terus berjalan lancar tanpa masalah. Suami harus bersedia untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya memandangkan berpoligami adalah sesuatu yang harus di segi syarak.
Bukan semua wanita sanggup dimadukan dan bermadu tetapi jika sudah suratan takdir yang Maha Esa, ia perlu dihadapi dengan reda dan penuh takwa. Mengupas hak-hak yang perlu diketahui oleh isteri dalam isu ini, berikut penerangan mengenai hak-hak isteri kedua dari hakim mahkamah Syariah, peguam syariah melalui pembentangan kertas kerja hak isteri kedua dan temubual bersama beberapa individu yang terlibat. Semoga banyak manfaat dan teladan dapat diketahui dari kupasan ini.
Hak sebelum berkahwin
Apabila berlaku perkahwinan maka telah sempurnalah separuh dari iman seorang muslim tidak mengira sama ada ia perkahwinan pertama ataupun kedua. Niat baik untuk mendirikan rumahtangga dapat membendung kegiatan maksiat dan melahirkan zuriat yang diberkati. Perkahwinan yang terbaik di sisi Tuhan ialah perkahwinan yang harmoni di mana pasangan mengamalkan ajaran Islam dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Ini termasuklah persoalan suami berlaku adil dengan isteri atau isteri-isterinya.
Dalam Islam, berpoligami adalah dibenarkan dan ramai di kalangan lelaki sangat berminat untuk menambah 'kuota' bilangan isteri yang dibenarkan Islam. Ada alasan sebahagian lelaki berkahwin lebih kerana mengikut sunnah nabi tetapi harus diingat sunnah yang dituruti perlu seiring dengan kemampuan diri. Bagi muslimah pula mereka perlu berhati-hati dan mendalami sebanyak mungkin ilmu berumahtangga agar hak-hak mereka tidak hilang begitu sahaja. Mengupas hak-hak isteri kedua dalam tempoh dan selepas perceraian serta masalah biasa yang difailkan ke mahkamah syariah, ikuti penjelasan hakim mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Yang Arif Abas Nordin, untuk renungan bersama.
Peruntukan undang-undang kekeluargaan Islam
Menurut Yang Arif Abas, Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam mempunyai peruntukan undang-undang kekeluargaan Islam dirujuk. Bagaimanapun dalam peruntukan tersebut, hak-hak isteri kedua tiada diperbincangkan secara mendalam. Perkara ini berlaku kerana melihat pada asas bahawa hak setiap isteri adalah sama tanpa membezakan kedudukannya sebagai isteri pertama, kedua dan seterusnya.
Perkara utama yang harus diberi perhatian oleh setiap oleh setiap isteri ialah tentang hak mereka bagi mendapatkan nafkah daripada suami. Manakala suami pula wajib memberi nafkah menurut kemampuannya. Sebagaimana yang difirmankan Allah SWT :
"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemmapuannya; dan siapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberi Allah kepadanya (sekadar yang mampu);..." (at-Talaq:ayat 7)
"Apabila nafkah diberi sama rata di antara isteri-isterinya, ini bermakna si suami telah melaksanakan apa yang dituntut Islam. Namun tanggungjawab tidak terhenti di situ kerana suami perlu berlaku adil kepada semua walaupun mungkin ada yang kurang tetapi seboleh-bolehnya lakukan yang terbaik."
Adil dan hutang
Yang Arif Abas menegaskan bahawa apa yang dimaksudkan adil di antara isteri-isteri ialah keadilan dalam penggiliran untuk bermalam, nafkah dan tempat tinggal. Sebagai contoh, jika seorang suami mempunyai dua orang isteri, wajib ke atasnya menyamakan pemberian dan penggiliran di antara keduanya seperti makan, minum, pakaian, kediaman dan perhiasan. Bagaimanapun tidak dinafikan timbul kesukaran bagi suami untuk menimbang kecenderungan hati dan pemberian kasih sayang. Dalam soal ini Imam Al-Syaukani memberi pendapat bahawa perkara ini tidaklah terlalu diwajibkan, cuma lakukan yang sebaik mungkin.
Suami yang gagal menunaikan kewajipan tersebut sepanjang tempoh perkahwinan, harus ada kesedaran dalam diri bahawa dia sedang berhutang sesuatu dengan isterinya. Hutang tersebut harus ditunaikan tanpa memerlukan perintah rasmi dari pihak kadi atau berkuasa. Bagaimanapun hutang tersebut dianggap lenyap setelah isteri meredhai segala apa yang disumbangkannya. Suami pula seharusnya tidak mengambil kesempatan atas kebaikan isteri dengan terus melalaikan tanggungjawabnya memberi nafkah.
"Ada juga suami yang mahu isteri-isterinya tinggal sebumbung. Dalam hal ini Imam Ibn Qudamah mempersoalkan kewajaran ia dilakukan. Baginya itu adalah sesuatu yang kurang baik melainkan mendapat persetujuan kedua-kedua isteri," terangnya ringkas.
Hak selepas BERCERAI
Menyentuh tentang hak selepas bercerai, Yang Arif menjelaskan bahawa perceraian adalah sesuatu yang halal tetapi tidak digalakkan dalam Islam. Dalam peruntukan undang-undang keluarga Islam, sekiranya rumah tangga tidak boleh diselamatkan dan isteri diceraikan tanpa melibatkan kes nusyuz atau derhaka, maka pihak isteri diberi nafkah eddah. Dalam tempoh eddah, isteri berhak menerima semua jenis nafkah ketika tempoh perkahwinan termasuk makan, minum, pakaian dan tempat tinggal.
"Selain itu, isteri tersebut juga berhak mendapat mutaah iaitu saguhati perceraian dengan syarat, ia berlaku bukan berpunca dari pihak isteri. Jika sebaliknya berlaku seperti apabila perkahwinan dibubarkan keran isteri tidak mampu melakukan hubungan suami isteri dan sebagainya, maka isteri tidak layak mendapat mutaah. Selepas diceraikan, isteri berhak menuntut hak sepencarian di mahkamah. Banyak perkara yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah tentang perkara ini dan biasanya mahkamah akan melihat setakat mana sumbangan isteri secara langsung atau tidak. Jika bercerai kerana kematian pula, isteri berhak mendapat sebahagian harta pusaka peninggalan suaminya," terangnya panjang lebar.
Ambil ringan dan denda
Menjawab persoalan masalah yang biasa timbul dalam berpoligami, Yang Arif menegaskan bahawa mahkamah terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang kebanyakannya timbul kerana kurangnya pemahaman pasangan atau sikap ambil ringan terhadap perkara-perkara penting yang bersangkutan. Kesedaran di kedua-dua belah pihak harus ada agar tiada masalah besar timbul di kemudian hari di mana kesannya akan dirasai bukan sahaja oleh pasangan tetapi anak-anak yang lahir dari perkahwinan tersebut.
"Kami banyak mengendalikan kes pengesahan nikah. Hampir 90% pengendalian kes tersebut melibatkan akad nikah tanpa kebenaran sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 19 Akta Undang-undang pengantin perlu mendapatkan kebenaran pendaftar di tempat dia bermastautin. Di bawah Seksyen 19(1) akta yang sama, akad nikah tidak boleh dilakukan kecuali di dalam kariah masjid di mana bakal pengantin perempuan bermastautin. Jika tidak, akad nikah perlu didaftarkan dengan pendaftar nikah."
"Hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali akan dikenakan jika disabitkan kesalahan. Oleh itu lebih baik sekiranya seseorang wanita yang berhasrat menjadi isteri kedua, saya nasihatkan pastikan bakal suami telah mendapat kebenaran bertulis untuk berpoligami dari mahkamah syariah," terangnya.
Tambahkan ilmu pengetahuan
Menjelaskan kemelut yang berlaku, mahkamah turut berhadapan dengan masalah pendaftaran nikah yang tidak dapat diterima kerana gagal mengikuti Undang-undang Keluarga Islam. Kes seumpamanya ialah apabila tidak sah dari segi hukum syarak. Ini hanya menyulitkan keadaan di mana isteri kedua akan berada dalam dilema. Pernikahan tersebut akan difaraqkan, dan status wanita tersebut masih kurang jelas. Jika wanita tersebut mengandung, status anak dalam kandungan juga tidak pasti untuk dibin atau dibintikan kepada siapa. Dibimbangi jika tiada sebarang dokumen pendaftaran nikah, pasangan akan menghadapi risiko ditangkap khalwat atau bersekedudukan.
"Sebenarnya banyak lagi kes yang terpaksa dikendalikan oleh mahkamah. Cuma saya nasihatkan agar para isteri dan bakal isteri perlulah menambah ilmu pengetahuan berkaitan hak-hak mereka menurut Undang-undang Keluarga Islam. Jangan ikutkan perasaan. Jika ada sebarang seminar, kursus, bengkel dan sebagainya yang berkaitan perlulah dihadiri. Saya juga suka mengingatkan di sini bahawa masyarakat kita perlu dididik dan diberi kesedaran bahawa amalan berpoligami yang sihat boleh diwujudkan sekiranya pihak-pihak terlibat mengikut saluran undang-undang," jelasnya memberi nasihat untuk kebaikan semua.
- Sumber daru NUR Januari 2003 -