Pernahkah anda diminta bekerja pada hari cuti umum oleh majikan anda? Sebagai pekerja adakalanya kita dalam dilema. Dari satu sudut, sebagai pekerja kita perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh pihak majikan. Namun di satu sudut yang lain sebagai insan ada kalanya kita merasakan tindakan majikan ke atas kita seolah-olah tidak adil atau berat sebelah.
Bersesuaian dengan musim perayaan ini, tentu ramai di antara kita yang akan bercuti dan tidak kurang juga terpaksa bekerja. Sebagai pekerja yang dilindungi di bawah Akta Buruh dan pelbagai lagi akta yang berkaitan mari kita lihat di mana hak kita sebagai pekerja di dalam hal-hal yang berkaitan dengan cuti.
Cuti Umum Berbayar
Setiap pekerja berhak mendapat 10 daripada mana-mana cuti umum berikut yang telah diwartakan dalam mana-mana satu kalendar dan juga mana-mana cuti yang diistiharkan oleh kerajaan sebagai cuti umum di dalam Seksyen 8, Akta Cuti 1951 :- Seksyen 60D(1)(a) & 60D(1)(b).
Cuti Umum Persekutuan
Hari Raya Puasa
Tahun Baru Cina
Hari Pekerja
Hari Wesak
Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong
Hari Raya Haji
Awal Muharam
Hari Kebangsaan
Hari Keputeraan Nabi Muhammad
Deepavali
Hari Krismas
Untuk Cuti Umum di peringkat negeri pula sila semak dengan kerajaan negeri masing-masing.
4 Cuti Yang Dimestikan
Ada empat hari cuti umum yang telah diwartakan dan dimestikan iaitu : Seksyen 60D(1)
1. Hari Kebangsaan
2. Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong
3. Hari Keputeraan Sultan atau Yang Dipertua Negeri atau Hari Wilayah Persekutuan
4. Hari Pekerja
Majikan boleh dan berhak mengikut budi bicaranya untuk menentukan mana-mana enam hari sebagai baki cuti umum yang dipilih ini mestilah daripada enam hari yang diwartakan dalam mana-mana satu tahun kalendar. Cuti-cuti umum yang telah dipilih ini mestilah ditentukan dalam bentuk notis kepada pekerja dan mesti diletakkan dengan nyata di tempat kerja sebelum bermulanya setiap tahun kalendar (Seksyen 60D(1) & Seksyen 60D(1A)). Bagaimanapun seorang majikan dan pekerja, atas persetujuan bersama boleh menggantikan mana-mana hari atau hari-hari lain sebagai baki enam hari cuti umum yang diwartakan.
Mendapatkan Cuti Ganti
S Adakah terdapat cuti ganti jika mana-mana daripada cuti umum terpilih yang diwartakan jatuh pada hari-hari yang pekerja tersebut :
*Cuti sakit
*Cuti tahunan
*Hilang upaya sementara di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
*Cuti bersalin (dimansuhkan sejak 10 Februari 1989)
J Jika mana-mana cuti umum terpilih yang diwartakan jatuh dalam tempoh pekerja seperti yang dinyatakan, pekerja tersebut berhak satu hari yang lain sebagai cuti umum berkenaan. Seksyen 60D(1B)
S Perlukah diberi sebarang ganti jika cuti umum yang diwartakan jatuh pada hari rehat?
J Jika cuti umum jatuh pada hari bekerja yang berikutnya akan menjadi hari cuti berbayar bagi menggantikannya. Seksyen 60(D)(1).
S Bagaimanakah seseorang pekerja harus dibayar jika beliau dikehendaki bekerja pada mana-mana cuti umum berbayar yang diwartakan?
J Seseorang majikan boleh menghendaki seseorang pekerja bekerja pada mana-mana cuti umum berbayar yang diwartakan tetpi beliau mesti dibayar dengan cara berikut :
* Di dalam keadaan seseorang pekerja bergaji bulanan, mingguan, harian, mengikut jam atau kadar gaji seumpama itu dan dikehendaki bekerja pada mana-mana hari cuti umum berbayar yang diwartakan, beliau akan dibayar seperti berikut :
A) Gaji berganda berdasarkan kadar gaji biasa beliau, iaitu tambahan kepada gaji hari cutinya yang beliau berhak terima untuk hari tersebut. Seksyen 60D(3)(a)(i)
B) Sekurang-kurangnya tiga kali ganda kasar gajinya menurut jam jika beliau bekerja lebih daripada jumlah jam kerja biasanya (iaitu dianggap sebagai kerja lebih masa Seksyen 60D(3)(aa).
Contoh:
Suhana bekerja daripada jam 8 pagi hingga 7 malam pada hari cuti bergaji. Waktu kerja biasa ialah daripada 8 pagi hingga 5 petang. Dengan itu jam 5 petang hingga 7 malam dianggap sebagai kerja lebih masa. Kadar gaji hariannya ialah RM8. Gajinya untuk hari tersebut ialah seperti berikut:
Gaji cuti umum RM8
Gaji yang mesti dibayar kerana bekerja pada hari cuti umum RM8 X 2 = RM16
Gaji kerja lebih masa RM8/8 jam X 2 jam X 3 kali = RM6
Jumlah gaji untuk hari itu ialah RM30
Hak Terima Gaji
Jika cuti umum yang diwartakan jatuh pada hari seseorang pekerja sedang bercuti tanpa gaji, beliau tidak berhak mendapat sebarang gaji untuk cuti umum diwartakan yang jatuh pada mana-mana hari dalam tempoh beliau bercuti tanpa bayaran.
S Adakah seorang pekerja berhak menerima gaji cuti umum jika beliau tidak hadir bekerja tanpa sebab-sebab yang munasabah pada hari kerja sebelum atau sesudah cuti umum bergaji
J Jika seorang pekerja tidak menghadirkan diri tanpa sebab-sebab yang munasabah pada hari bekerja sebelum atau sesudah cuti umum yang diwartakan, beliau tidak berhak mendapat sebarang cuti umum bergaji. Seksyen 60D(2).
Bekerja Di Hari Rehat
Setiap pekerja akan dibenarkan satu hari rehat penuh dalam setiap minggu dan jika lebih daripada satu hari rehat diberi kepada seseorang pekerja dalam seminggu, hari terakhir juga adalah dianggap sebagai hari rehat. Seksyen 59(1). Bagaimanapun sesuatu hari rehat bagi pekerja-pekerja syif hanya dibenarkan selepas kerja yang berterusan selama 30 jam. (Hari rehat untuk pekerja-pekerja yang terlibat dengan kerja-kerja syif). Seksyen 59 (1A).
S Bolehkah seseorang majikan menguruskan supaya hari-hari rehat digantikan dengan hari-hari lain?
J Ya. Seseorang majikan boleh melakukan penukaran, tetapi beliau haruslah menyediakan satu jadual sebelum bermula bulan bagi hari-hari tersebut. Beliau juga haruslah memaklumkan kepada pekerja tersebut mengenai hari-hari yang telah dijadualkan sebagai hari-hari rehat mereka. Seksyen 59(2).
Apabila hari rehat telah ditetapkan untuk semua pekerja bagi setiap minggu, satu notis hendaklah diletakkan di tempat yang jelas untuk memaklumkan mereka mengenai hari rehat yang telah ditetapkan.
S Di bawah keadaan bagaimanakah seseorang pekerja boleh dipaksa bekerja pada hari rehat di atas perintah majikan.
J Tiada seorang pekerja pun boleh dipaksa bekerja pada hari rehat kecuali kerana sifat kerja tersebut menghendaki ia terus berjalan dan berterusan dengan dua syif atau lebih. Seseorang majikan juga boleh menghendaki seseorang pekerja bekerja lebih masa atau bekerja pada hari rehat di bawah keadaan yang berikut : Seksyen 60 A(2)
a) Kemalangan yang benar-benar berlaku atau diancam. Di dalam atau berhubungan dengan tempat kerja beliau atau
b) Kerja yang penting bagi kehidupan masyarakat; atau
c) Kerja penting yang harus dilakukan kepada loji dan mesin atau
d) Kerja yang penting bagi pertahanan dan keselamatan Malaysia; atau
e) Gangguan kerja yang tidak disangkakan; atau
f) Kerja di dalam sebarang bidang perindustrian yang penting kepada ekonomi Malaysia atau mana-mana perkhidmatan yang penting seperti yang ditafsirkan di dalam Akta Perhubungan Perusahaan, 1967.
Seseorang pekerja tidak dibenarkan bekerja lebih daripada 12jam dalam mana-mana hari kecuali di bawah keadaan-keadaan yang dinyatakan dalam (a) hingga (e) di atas.
S Bolehkah hari rehat dikumpulkan
J Di bawah keadaan biasa, pengumpulan hari rehat tidak dibenarkan. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu seperti tempat kerja adalah terpencil atau jauh dan banyak masa diperlukan bagi membolehkan pekerja pulang ke rumahnya, majikan boleh memohon kelulusan Menteri Sumber Manusia.
- Sumber dari NUR Disember 2002 -