Rukun Puasa
Rukun puasa ada tiga:
1. Orang yang berpuasa
2. Niat
3. Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Keterangan-keterangan mengenai niat berpuasa:
1. Wajib ditakyinkan (ditentukan) jenis puasa fardhu seperti Ramadhan, nazar, kifarah dan sebagainya.
2. Wajib dilakukan pada waktu malam bagi puasa wajib. Adapun puasa sunat boleh diniatkan pada siang hari dengan dua syarat. Pertama, masanya sebelum tergelincir matahari. Kedua, belum melakukan sesuatu yang membatalkan puasa.
3. Menurut Imam Syafie wajib niat puasa pada tiap-tiap malam. Imam Malik pula berpendapat, boleh niat puasa sekalian Ramadhan dengan sekali niat pada awal Ramadhan (malam pertama). Dan berhubung dengan pendapat Imam Malik ini, kita pengikut Mazhab Syafie adalah diharuskan bertaklid dengannya.
Lafaz niat puasa Ramadhan:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: "Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan fardu Ramadhan tahun ini kerana ALLAH TAALA"
Doa Berbuka Puasa
اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَ بِكَ أَمَنْتُ وَ عَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Maksudnya: "Ya ALLAH bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang."
Pengertian Sunat Tarawih
Tarawih ertinya beristirehat. Ia dikerjakan selepas solat isyak sehingga menjelang fajar. Solat tarawih ini hanya dilakukan pada bulan Ramadhan dan boleh dilakukan sama ada secara individu atau berjamaah. Bilangan rakaat yang dilakukan biasanya lapan rakaat dengan tiga witir atau 20 rakaat dengan tiga witir.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Adalah Rasulullah s.a.w. menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadhan tetapi tidak mewajibkannya. Baginda bersabda barang siapa bangun pada bulan Ramadhan (mengerjakan solat tarawih) dengan rasa iman dan mengharapkan keredhaan ALLAH maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu."
Hukum Solat Sunat Tarawih
1. Hukumnya sunat muakad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
2. Sunat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat ibadat orang Islam.
Waktu Solat Sunat Tarawih
Selepas menunaikan solat fardhu Isyak dan sunat ba'diah dua rakaat.
Rakaat Solat Sunat Tarawih
1. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat sahaja.
2. Pada zaman Rasulullah s.a.w., solat tarawih dikerjakan sebanyak lapan rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Walau bagaimanapun terdapat juga hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengerjakan sebanyak 20 rakaat.
3. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. pula beliau melaksanakannya sebanyak 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sebanyak itu.
4. Solat sunat tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap lapan dengan sekali takbiratulihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
5. Lafaz niat solat sunat tarawih:
أُصَلّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: "Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat makmum kerana ALLAH TAALA."
Waktu Imsak
Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar sadiq (masuk waktu subuh) hingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib) disertai dengan niat dan syarat-syarat tertentu. Dalil waktu bermulanya puasa adalah sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:
"Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu (waktu) fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga waktu malam(maghrib)."
Berdasarkan dalil tersebut, maka jelaslah bahawa waktu puasa itu bermula apabila masuknya waktu subuh. Hal ini telapun disepakati olek ijmak ulama. Adapun waktu imsak yang diamalkan bermula kira-kira 10 minit sebelum masuknya waktu subuh atau kira-kira tempoh membaca 50 ayat al-Quran yang sederhana panjang. Imsak adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud menahan daripada sesuatu. Waktu imsak ini adalah sebaik-baik waktu bagi seseorang itu berhenti makan/minum ketika bersahur bagi membolehkannya bersiap-siap untuk menantikan masuk waktu subuh dan juga sebagai waktu ihtiyati (berjaga-jaga/berwaspada) agar tidak tergopoh-gapah bersahur hingga masuknya waktu subuh. Jadi jelaslah apa itu waktu imsak dan waktu bermulanya puasa (subuh)
Kesimpulannya, mereka yang makan/minum ketika waktu imsak (10 minit sebelum waktu subuh) tidaklah membatalkan puasanya selagi mana tidak sampai waktu subuh. Meninggalkan sunah Rasulullah s.a.w. dengan sengaja tanpa alasan munasabah adalah makruh dan tidak terpuji. Demi menjaga kesempurnaan ibadat puasa kita dan lebih beradab dalam melaksanakan perintah ALLAH, maka adalah lebih baik jika kita mengikut panduan yang diberi. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui.
- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -
