ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin TUHAN mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu hingga terbit fajar."
- Surah al-Qadr: 1-5
ALLAH SWT memberitahu bahawa DIA menurunkan al-Quran pada malam lailatulqadar, iaitu malam yang penuh dengan keberkatan.
ALLAH SWT berfirman:
إِنَّا أَنزَلْنَهُ فِى لَيْلةٍ مُّبَرَكَةٍ
Maksudnya:
"Sesungguhnya KAMI menurunkannya pada suatu malam yang diberkati."
- Surah ad-Dukhaan:3
Dan malam itu berada pada bulan Ramadhan, sebagaimana firman ALLAH SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِى أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ
Maksudnya:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran."
- Surah al-Baqarah : 185
Ibnu Abbas r.a. berkata:
"ALLAH SWT menurunkan al-Quranul Karim keseluruhannya secara sekali gus dari lohmahfuz ke BaitulIzzah (langit pertama) pada malam lailatulqadar. Kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w. sesuai dengan pelbagai peristiwa selama 23 tahun."
Malam itu dinamakan lailatulqadar kerana keagungan dan keutamaannya di sisi ALLAH SWT. Pada saat itu ditentukan ajal, rezeki dan sebagainya selama setahun. Sebagaimana firman ALLAH SWT:
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
Maksudnya:
"Pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetap berlaku."
- Surah ad-Dukhaan : 4
ALLAH SWT juga menjelaskan keutamaan malam itu dengan firman-NYA:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
"Lailatulqadar itu lebih baik daripada 1000 bulan."
- Surah al-Qadr: 3
Ini bermakna, beribadat pada malam itu dengan bersolat, membaca al-Quran, berzikit dan berdoa adalah sama nilainya dengan beribadat selama 1000 bulan iaitu bersamaan dengan 83 tahun empat bulan.
Lalu, ALLAH SWT memberitahu tentang kelebihan dan nikmatnya dengan malaikat yang turun pada malam itu, termasuk Jibril a.s. Mereka turun dengan membawa perkara kebaikan mahupun keburukan yang merupakan ketentuan dan takdir ALLAH SWT. Seterusnya, ALLAH SWT menambahkan kelebihan malam tersebut dengan firman-NYA:
سَلَمٌ هِىَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Maksudnya:
"Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."
- Surah al-Qadar : 5
Ini bermakna malam itu adalah malam yang penuh dengan kesejahteraan dan kebahagiaan. Tidak ada sedikit pun kecacatan di dalamnya, sehinggalah terbitnya fajar. Pada malam itu, para malaikat termasuk Jibril a.s. mengucapkan salam kepada orang yang beriman.
Rasulullah s.a.w. juga menyebut tentang kelebihan melakukan qiamullail pada malam tersebut. Baginda bersabda:
"Barangsiapa melakukan solat malam pada saat lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala ALLAH SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Manakala mengenai waktu lailatulqadar itu, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Carilah lailatulqadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan."
- Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya
Malam-malam ganjil itu ialah malam ke 21,23,25,27 dan 29. Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa dia bertanya:
"Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mengetahui lailatulqadar, apa yang harus aku ucapkan di dalamnya?" Baginda menjawab, katakanlah: "Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun, ENGKAU mencintai pengampunan maka ampunilah aku."
- Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah
Seharusnya kita sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh memenuhi malam-malam tersebut dengan solat, zikir, doa, taubat dan istighfar. Mudah-mudahan dengan demikian kita merasai kelebihan lailatulqadar, sehingga kita dapat menikmati kebahagiaan yang kekal di syurga. Pada malam tersebut, hendaklah kita berdoa untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.
- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -