Khamis, 1 Ogos 2013

Berikan Hak Itu

Karya : Eriena Ibrahim


Riuh-rendah kanak-kanak yang bubus dari muka pintu spontan menghantar denyut riang ke hati. Langkah kupercepatkan seraya mata berkelintar melihat wajah-wajah comel yang mulus bersih itu. Dari jauh, aku sudah nampak Hanida berdiri sambil mengumbarkan senyuman manis mesranya.
"Engkau nak jumpa Nini?" soalnya.
"Engkau kan tau memang itu tujuanku ke sini?" Aku menombakkan mataku ke matanya. Hanida tersenyum tipis sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Sekarang waktu rehat. Mereka sedang makan. Tunggu sebentar lagi, ya?" Lembut suaranya menyentuh gegendang telinga.
Aku kembali melayahkan mata ke seluruh ruang kelas yang dipenuhi pelbagai permainan dan blok-blok huruf. Ada nuansa aneh yang terbit, jatuh sayup ke ufuk batinku.
"Untie!" Nini tercegat di hadapan, comel ceria dengan tocang beriben merah. Wajahnya putih mulus, berbibir kecil dan matanya bulat bercahaya. Spontan aku tersenyum, menghambat pergi rasa bosan yang tadinya membelit tangkai hati.
"Buah hati untie sihat hari ini? Nak ikut untie pergi shopping?" Pelawaku. Jauh di sudut hati, aku amat berharap Nini akan bersetuju.
"Papa janji nak datang ambil Nini. Marilah untie, datang rumah Nini." Aku tersenyum lagi. Cuba membendung kecewa. Kemudian menggeleng-geleng.
"Tak apalah. Lain kali ya, sayang."
Loceng berbunyi panjang. Nini berlari-lari pergi. Aku terhenyak, merenungnya antara merelakan dengan tidak. Mata kupejamkan. Apabila kubuka mata, aku tersentak melihat Hanida tercegat di pintu merenung tajam mataku.
"Sampai bila nak terus begini?" Dia mendekatiku, duduk di sisi, kemudian meletak tangannya ke pangkuanku dengan lembut. "Sampai bila-bila, mungkin." Balasku, memejamkan mata lagi. "Nini akan membesar. Engkau sendiri tahu kesannya nanti, bukan?"
"Aku belum memikirkannya, Ida. Aku bahagia dengan cara aku sekarang."

Tesingkir
Pelajar tahun tiga di bawah bimbinganku petang itu nampak bersemangat. Anehnya aku yang hilang konsentrasi untuk mengajar. Ada resah yang mencengkam membelit naluri. Sesekali tersasul menyebut nama Nini ketika memanggil pelajarku. Nyata bahawa Nini yang menghantar keresahan ke dadaku. Anak comel enam tahun itu cuba kugarahkan daripada ingatan tetapi senakal itulah juga ia menerjah hadir dengan senyuman.
"Engkau okay ke, Yan?" Tanya Hanida di telefon malam itu.
Telefon kemas dalam genggaman. Kurenung wajah yang kusut masai melalui cermin yang terpasang berhampiran telefon. Ketara di sana wajahku yang pucat, mata hilang seri, rambut kusut-masai dan tubuh yang kian kering.
"Engkau resah kerana Nini, bukan?" Diam. Hatiku mengiakan tetapi suaraku terkanjal di rengkong. "Sejak balik ke Malaysia, sejak jumpa Nini enam bulan dulu, engkau berubah langsung, Yan. Engkau nak musnahkan diri sendiri? Engkau ada hak, Yan." Diam lagi. Wajah Nini membias di kelopak ingatan. Senyuman Nini yang manja bagai terbayang-bayang, benar-benar mencambuk perasaan.
"Tak patut Farid buat engkau begini." Salah Faridkah? Kami terbelenggu dalam keterpaksaan yang menuntut kami melepaskan sesuatu yang tidak kami relakan. Farid suamiku, kami saling mencintai. Nini anak kami, cantuman kasih cinta kami. Lantas mengapa aku yang harus tersingkir, sekadar jadi pemerhati tanpa boleh memiliki?
"Puan Azian, dengar saya baca seksyen 59(2) ini. Seorang isteri tidak berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan menurut kemahuan atau perintah suaminya iaitu, antara lainnya - apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya, apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya, apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa sebab yang sah mengikut hukum syarak."
Aku hilang upaya untuk membantah, melawan atau mempertikaikannya. Aku takut, bingung, naif dan tertekan amat ketika itu. Aku keseorangan, tiada pelindung untuk meminta simpati.
"Mengikut seksyen 83, hak seorang perempuan terhadap hadanah adalah hilang apabila:
a) jika seorang perempuan berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan dibubarkan;
b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
c) jika perempuan itu sengaja menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri tersebut;
d) jika perempuan itu murtad;
e) jika perempuan itu mencuaikan atau menganiayai kanak-kanak itu."
"Apa relevansi itu semua dengan saya?"
"Puan masih seorang pelajar, tiada pekerjaan, tiada tempat tinggal tetap. Puan tak mampu untuk memelihara seorang anak kecil. Puan saudara baru, tiada kaum keluarga. Keadaan-keadaan ini boleh memungkinkan terabainya anak puan.."
"Saya ibunya. Saya tak akan meletakkan anak saya dalam keadaan bahaya.."
"Untuk kebaikan si anak; lebih baik dia diletakkan di bawah jagaan bapanya!"
Kali ini bingung dan takutku berganda. Tetapi sekali lagi, aku keseorangan, tiada yang bersimpati denganku.
" Dengan ini, mahkamah memutuskan puan hilang hak penjagaan terhadap anak kamu, Nur Hanini Muhamad Farid...dan dengan itu, hak penjagaan terhadap Nur Hanini diletakkan di bawah bapanya, Muhammad Farid Datuk Ikram..."
Mereka menggunakan jalan yang sah untuk menyingkirkan aku. Mereka berjaya mengiktiraf ketidakmampuanku, menolak hakikat aku adalah seorang ibu. Mereka ketawa melihat aku menangis. Sadisnya!
Undang-undangkah yang salah? Atau manusiakah yang terlalu bijak memutarbelitkan undang-undang? Aku meraung tetapi tiada yang bersimpati denganku. Semuanya menganggap hukuman itu berbaloi dengan ketidakupayaanku.

Cemerlang
Nini dibawa pergi, entah ke mana. Farid juga pergi selepas melafazkan talak ke atasku. Khabarnya dihantar keluarganya ke luar negara. Tinggal aku termangu-mangu keseorangan, hilang punca, mati andar.
Perkahwinanku setahun saja. Aku juga gagal pengajian tahun pertama di universiti. Lengkaplah sudah. Tiga kehilangan dalam jangkamasa setahun - suami, anak dan pelajaran.
Berbulan-bulan kemudian, setelah fikiran agak waras, jiwa sedikit kental, dengan tiupan semangat pensyarah yang tidak jemu-jemu memujukku supaya tidak berhenti belajar, aku kembali bertatih dalam arena akademikku. Kerap kali aku tergelincuh, menangis sendiri menahan sakit tetapi apabila mengenangkan suami, anak dan akademikku yang tercicir sebelum ini - aku kuatkan semangat.
Tiga tahun, aku lupakan dua manusia bernama Farid dan Nini yang dulunya sebahagian daripada hidupku. Sengaja aku benamkan wajah mereka dalam-dalam. Otakku juga masih berguna. Aku bergraduat dengan keputusan paling cemerlang - Kepujian Kelas Pertama sebelum mendapat tawaran melanjutkan sarjana di Universiti London. Jika aku masih ada Farid dan Nini, kini hampir lengkaplah hidupku - ada suami, anak dan ijazah pasca sarjana dalam usia baru 26 tahun sebelum bergelar Dr. dalam masa dua tahun lagi. Tetapi kita tidak akan berjaya mendapatkan kesemuanya sekali dalam hidup, bukankah begitu, Azian?
Nini bukan hakku. Aku tidak punya apa-apa kuasa terhadap Nini, sekalipun rahim ini yang mengandungkannya selama sembilan bulan sepuluh hari. Meskipun aku yang bersabung nyawa membawa Nini lahir ke dunia ini tetapi aku tidak punya apa-apa hak untuk memeliharanya.

Permintaan
Esoknya sekali lagi aku tercegat di Tadika Sayang, tetap dengan tujuan yang sama untuk bertemu anakku. Tidak dapat memiliki Nini, dapat bertemu, berbual-bual, mengelus rambutnya yang lembut pun cukuplah. Aku hanya mahu kebahagiaan dengan caraku. Itu saja.
"Untie, semalam papa bawa Nini jalan-jalan. Beli anak patung, makan ais krim, naik buaian. Seronok untie!" Petah sungguh anak itu bercerita. Aku tersenyum tetapi dalam hati menangis.
Aku ibu Nini. Aku yang melahirkannya. Tetapi mengapa aku tidak boleh mendapat apa-apa yang diperolehi Farid? Di manakah keadilannya?
"Nini!"
"Papa!"
Begitu, dalam masa sepantas itu, Farid tercegat di hadapanku. Nini yang berwajah ceria sudah dalam dakapannya.
"Apa khabar Azian?" Lelaki itu bertanya dalam nada karismanya yang belum luntur. Aku tergamam, terasa darah berhenti mengalir dan tubuh sejuk tiba-tiba.
"Jadi, inilah untie yang selalu Nini ceritakan pada papa ya?" Lelaki itu memandang Nini pula, sedang Nini masih dalam senyuman cerianya.
"Aku perlu bawa Nini balik. Jumpa lagi." Lelaki itu mengangguk sekali kepadaku, memberi salam dan melangkah ke kereta.
"Aku hanya mahu melihat anakku, bercakap-cakap dengannya, mengelus rambutnya dan bergurau dengannya. Aku tak menuntut lebih. Itu sudah cukup membahagiakan aku. Itu saja."
"Tapi anak itu tidak mengenalimu."
"Itu tidak penting. Yang penting dia mahu terima aku. Dia mahu menerima aku dalam kelompoknya."
Farid diam, merenung wajahku seakan-akan mencari keyakinan bahawa akulah yang berkata-kata itu.
"Engkau tak sanggup, Farid? Permintaan sekecil inipun tak mampu engkau tunaikan? Aku tak minta banyak, Farid." Farid nampak resah. Sekejap-sekejap dia menoleh ke arah Nini yang sudah berada di dalam keretanya. Sedangkan aku terus menunggu, berdoa-doa.
"Nanti aku fikirkan!" Terburu-buru dia masuk ke kereta.
Aku meraung tetapi hanya bergema dalam diri. Lemah lututku melihat Nini dibawa pergi. Seakan-akan babak anakku dibawa pergi lima tahun lalu tertayang kembali. Adakah Nini akan dilarikan sekali lagi seperti lima tahun lalu?

Mengharap sinar
Bertahun-tahun aku mencari anakku yang hilang ini. Bertahun-tahun lamanya aku mengepung rindu yang sarat terhadap zuriatku yang satu itu. Hanya pertemuanku dengan Hanida, sahabat lamaku itu yang membuka jalan. Kebetulan dia membuka tadika selepas kembali dari pengajiannya dalam bidang kaunseling kanak-kanak dia Amerika Syarikat. Kebetulan Nini dihantar bersekolah di situ. Dan kebetulan itulah yang menemukan aku dengan anakkku. Maka kebetulan jugakah yang bakal memisahkan aku dengan anakku sekali lagi?
Malam itu, tiba-tiba Farid menghubungiku. Terkelut aku mendengar suaranya yang segar di corong telefon. Perbualan berlanjutan sehingga keluar bersama. Diri terseret ke lembah ingatan lampau. Tetapi betapa berbeda kini.
"Aku selalu lihat engkau datang bertemu Nini tetapi aku tidak berani menghampirimu. Aku lihat engkau terlalu kuat, Azian. Hanya hari itu, aku memberanikan diri bersemuka." Suaranya separuh berbisik.
Kami terheret mengenangi sejarah lampau. Enam tahun lalu, kami mendirikan rumahtangga dalam usia masih terlalu remaja. Jarang ada yang berjaya mengekalkan keharmonian itu, jika di dalamnya ada selumbat tajam yang menyucuk sehingga berdarah. Berdarah di luar dapat diubati segera. Tetapi jika berdarah di dalam, pasti akan membusuk bernanah di luar penglihatan.
"Kenapa kita mesti bercerai dulu? Selama ini engkau begitu baik. Aku tidak pernah berasakan apa-apa kekurangan padamu. Kenapa aku begitu cepat terpengaruh cakap-cakap orang lain?" Nada Farid bersulam keluhan maha dalam.
Lama kami saling bertatapan. Kenapa dulu kami tidak pernah berbincang dalam suasana yang aman tenang seperti ini? Kenapa dulu kami harus bertengkar setiap kali bersanggit bahu? Kenapa dulu, hal rumahtangga kami harus jadi perbalahan di mahkamah?
"Kenapa dulu kita begitu bodoh? Kenapa dulu kita ketepikan hukum-hakam? Kenapa kita ambil keputusan terlalu cepat?" Luahnya, seakan-akan mahu melepaskan sesak yang sendat di dada.
Kutelan kata-kata itu dengan rasa saling berbaur. Apabila seorang suami, (bukan, bekas suami) mengakui kesilapannya, bukankah separuh kemenangan berada dalam tangan isteri (bukan, bekas isteri)?
"Engkau boleh terus bertemu Nini, Azian. Aku akan menarik balik ketidakupayaan engkau. Tetapi Nini akan terus di bawah jagaanku. Dia akan selamat bersamaku. Selepas Nini berusia sembilan tahun, hak hadanah tamat. Apabila Nini sudah cerdik, dia berhak memilih sama ada mahu tinggal bersama aku, ayahnya atau engkau, ibunya."
Aku merenung bulan pucat di dada langit. Aku mengharapkan sinarnya yang kelam itu dapat menerangi hati yang kelam ini. Aku tidak minta banyak, hanya sedikit - cukup buat menyuluh jalanku. Aku tidak pinta banyak, hanya mahu hakku saja! - TAMAT -


- Sumber dari NUR November 2002 -