Selain wajib ke atas semua umat Islam, berpuasa di bulan Ramadhan mampu meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Jadi, bukan alasan bagi mereka yang menghidap penyakit tertentu untuk tidak menjalankan ibadah yang dituntut ini, kecualilah mereka yang dilarang doktor atas sebab ia boleh memudaratkan kesihatan khususnya penyakit yang memerlukan panjagan rapi dari segi pemakanan.
Kencing manis atau diabetes dikenalpasti sebagai salah satu penyakit yang serius dan memerlukan penjagaan rapi dari segi pemakanan. Berdasarkan kajian Second National Health and Morbidity Survey pada 1996, kira-kira 8.3 peratus atau lebih 1.5 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis atau diabetes mellitus. Peratus ini dikatakan kian meningkat dari tahun ke tahun.
Diabetes terjadi disebabkan gangguan metalbolisme karbohidrat apabila gula dalam tubuh tidak dioksida untuk menghasilkan tenaga kerana kekurangan hormon pankreas insulin. Kehadiran gula yang tidak dioksida itu semakin berkumpul menyebabkan kandungan gula dalam darah dan air kencing tinggi atau berlebihan.
Rawatan untuk penghidap diabetes ini adalah dengan mengambil pemakanan yang dikawal rapi iaitu cukup karbohidrat untuk keperluan tubuh bersama suntikan insulin atau ubat yang diambil secara oral untuk menurunkan aras glukosa dalam darah atau membantu penkreas mengeluarkan insulin secara semulajadi.
Keliru & Bimbang
Kerana inilah ramai pesakit diabetes yang keliru dengan kedudukan mereka ketika tiba Ramadan kerana bimbang puasa boleh menjejaskan kesihatan mereka. Dalam satu ceramah, Penjagaan Diabetes Mellitus di Bulan Ramadan, seorang pakar klinikal (Diabetes dan Endokrinologi), Dr Siti Harnida Md Isa, berkata pada dasarnya pesakit diabetes dibenarkan berpuasa tetapi memerlukan sedikit pengubahsuaian pada jadual pemakanan dan pengambilan ubat.
"Pesakit yang diabetesnya stabil, iaitu tidak memerlukan insulin serta mempunyai berat badan berlebihan digalakkan berpuasa. Berat berlebihan ialah berat yang melebihi 20 peratus berat badan yang sepatutnya (berat badan ideal). Begitu pun, jika mereka menunjukkan tanda hipoglisemia, hiperglisemia atau kekurangan air (dehidrasi) adalah digalakkan terus berbuka puasa dan haram untuknya meneruskan puasa untuknya kerana boleh memudaratkan kesihatan." katanya.
Antara Peraturan Penting Yang Perlu Diikuti Bagi Pesakit Yang Hendak Berpuasa:
*Mesti bersahur seperti biasa, melengahkan sahur dan makan dengan cukup (bukan berlebihan)
* Tidak dibenarkan dan melambatkan berbuka puasa.
* Minum cukup air, dinasihatkan jika bangun pada waktu malam untuk buang air, minum air.
* Mengambil ubat dan insulin seperti disyorkan doktor ketika Ramadhan.
* Tidak makan berlebihan ketika berbuka puasa. Kurangkan makanan bergula seperti kuih-muih, manakala buah kurma adalah sekadar mengambil barakah atau mengikut sunnah
* Harus berusaha untuk mengawasi penyakit mereka dan menjaga kesihatan secara amnya.
* Harus mengenali tanda hipoglisemia, hiperglisemia dan kekurangan air. Apabila mengalami tanda berkenaan, segeralah berbuka. Membuat perubahan kepada jadual pengambilan kepada jadual pengambilan ubat atau insulin kerana apabila berpuasa, pesakit tidak makan atau minum untuk satu jangka masa yang panjang iaitu hampir 14 jam. Ubat dan insulin yang bertindak dalam jangka masa lama mungkin perlu ditukar kepada yang bertindak segera untuk mengelakkan hipoglisemia. Ada juga ubat dan insulin yang perlu ditukar kepada yang bertindak dalam jangka masa panjang untuk mengelakkan tahap gula atau glukos tinggi pada waktu petang sebelum berbuka puasa.
* Mengenai senaman dan kegiatan harian boleh dijalankan seperti biasa. Pesakit diabetes sering berhadapan dengan risiko diserang beberapa masalah seperti hipoglisemia, hiperglisemia dan kekurangan air. Bagaimanapun, pesakit tidak perlu bimbang kerana terdapat beberapa tanda bagi memudahkan pesakit ataupun ahli keluarga untuk mengenali tanda serangan.
Siapa yang tidak boleh berpuasa?
1. Pesakit diabetes yang pada pendapat doktor tidak terkawal. Penyakit diabetes yang tidak terkawal akan menyebabkan kekurangan air dan mendedahkan pesakit kepada kompilkasi lain seperti jangkitan kuman, koma dan sebagainya.
2. Pesakit yang tidak mengikut nasihat penjagaan makanan, ubat dan insulin.
3. Pesakit yang mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung yang tidak stabil (unstable angina) dan tekanan darah tinggi tidak terkawal. Biasanya pesakit diabetes mempunyai tekanan darah tinggi.
4. Pesakit yang kerap mendapat koma diabetik ketoacidosis. Masalah ini biasanya disebabkan hipoglisemia.
5. Pesakit yang kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah) terutama mereka yang pernah mendapat dua atau lebih koma hipoglisemia pada Ramadan sebelumnya. Penyakit yang sampai ke tahap serius boleh merosakkan otak.
6. Pesakit yang sedang mengalami sebarang jangkitan kuman. Tanda awal yang penting ialah suhu badan tinggi atau demam.
7. Pesakit yang berumur dan tinggal bersendirian.
8. Pesakit yang mengandung dan memerlukan insulin.
9. Pesakit kanak-kanak yang berusia 12 tahun.
- Sumber dari NUR November 2002 -