Ahad, 14 Julai 2013

Kerja & Persiapan Raya - biar seimbang urusannya

Kemeriahan sambutan hari raya semakin terasa terutamanya apabila masuk minggu kedua berpuasa. Seperti biasa seluruh muslimin dan muslimat mahu menyediakan persiapan terbaik dengan pakaian dan kelengkapan rumah baru.
Bagi suri rumahtangga pastinya banyak masa dapat diperuntukkan untuk memikirkan persiapan raya, namun bagi mereka yang bekerja, kesuntukan masa adalah perkara normal. Maka dengan itu mereka harus bijak membahagikan masa antara urusan kerja dan persiapan hari raya. Tidak dinafikan anda terpaksa berfikir dan bekerja lebih keras kerana melakukan dua kerja serentak. Apakah cara terbaik dapat dilakukan bagi memastikan kerja dan persiapan raya berjalan lancar?

1. Guna kemajuan teknologi
Kemajuan teknologi seperti penggunaan internet perlu digunakan sepenuhnya. Kini banyak laman web menyediakan nasihat dan membeli barang secara dalam talian (on-line) sebagai kemudahan membeli-belah. Masa untuk berbelanja dapat anda gunakan untuk menyiapkan kerja pejabat sebelum bercuti raya. Barang yang tiba ke tangan anda dijamin kualiti dan keadaannya, jika tidak anda berhak memulangkan barang yang sampai ke tangan anda.
2. Perancangan teratur
Hidup perlukan perancangan kerana ia akan memudahkan anda melakukan sesuatu mengikut tertibnya. Lebih baik jika pekerjaan anda dapat disiap dan dilakukan lebih awal. Cara ini dapat mengurangkan tekanan menjelang perayaan. Jika kerja kurang penting terlalu banyak dan anda tidak yakin dapat menyiapkannya dalam waktu terdekat, minta pertolongan ketua untuk membahagikan tugas tersebut kepada rakan setugas yang lain. Pasti dia todak menolak cadangan anda demi kepentingan syarikat. Selain itu gunakan kesempatan rehat makan tengahari untuk menyiapkan segala urusan yang perlu.
3. Memberi kepercayaan kepada pekerja
Mustahil anda mampu menyelesaikan segala urusan sendirian. Sebagai ketua, anda seharusnya memberi kepercayaan kepada pekerja bawahan untuk melakukan kerja-kerja yang mampu dilakukan mereka dari urusan perkeranian sehingga menyediakan akaun. Secara tidak langsung anda telah meringankan sedikit bebanan di bahu daripada tekanan menjelang perayaan.
4. Senaraikan perkara mustahak
Urusan seharian akan lebih senang apabila anda dapat menyenaraikan segala kerja atau urusan yang kurang mustahak. Bagaimanapun perkara atau urusan yang tertangguh seharusnya tidak menjejaskan kredibiliti anda sebagai ketua, pekerja atau menjejaskan perjalanan urusan syarikat.
5. Tempahan awal
Kerja yang banyak di pejabat adakalanya membuatkan anda tidak berkesempatan untuk menjahit baju, langsir atau membuat kuih raya sendiri. Mengatasi masalah ini anda perlu bertindak pantas membuat tempahan awal pada tukang jahit kegemaran anda atau pembuat kuih raya yang biasa selewat-lewatnya sebulan sebelum raya.
6. Perbincangan keluarga
Walau sibuk bagaimana sekalipun, waktu berbuka puasa bersama keluarga merupakan kesempatan terbaik untuk berbincang mengenai persiapan hari raya. Di sini anda sudah boleh membahagikan tugas kepada suami dan anak-anak apa yang dapat mereka lakukan untuk membantu meringankan tugas anda menjelang hari raya. Kerjasama antara ahli keluarga mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Sedikit demi sedikit perancangan terbentuk dan dapat mengelakkan keserabutan menyediakan persiapan menjelang raya.
7. Senarai barang
Mengelakkan daripada berbelanja secara berlebihan, anda dinasihatkan menyenaraikan barang keperluan yang penting sahaja untuk dibeli. Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan belanja malah menjimatkan masa ketika membeli belah. Jika bimbang kepenatan membeli-belah pada bulan puasa, sedikit sebanyak persiapan awal sebelum berpuasa dapat membantu masalah tekanan menjelang hari raya. Contohnya, menempah pakaian untuk dijahit sebelum hari raya.
8. Memohon cuti raya
Pastikan anda memohon cuti raya lebih awal agar kelulusan awal daripada pihak majikan dapat memudahkan anda membuat perancangan rapi persediaan hari raya. Bagaimanapun anda perlu memastikan segala urusan pejabat dapat disiapkan sebelum bercuti. Jika tidak sambutan hari raya akan terganggu kerana anda sering memikirkan kerja yang belum selesai di pejabat.
9. Berbelanja di hujung minggu
Sebaik-baiknya gunakan kesempatan bercuti hujung minggu untuk membeli-belah keperluan raya. Jika anda merancang membeli perabot atau sesuatu yang mempunyai nilai tinggi, pastikan anda telah menyediakan peruntukan seawal mungkin agar perbelanjaan menjelang hari raya tidak membebankan. Keluar awal untuk mengelakkan kesesakan jalanraya dan beli berdasarkan senarai yang disediakan.
10. Rumah kekal bersih
Satu perkara yang membebankan ialah apabila kediaman terpaksa dibersihkan dengan menyeluruh apabila menjelang raya. Biasanya ia timbul apabila kediaman kurang terurus kerana kesibukan bekerja. Bagaimanapun ia dapat diatasi sekiranya anda dan pasangan bekerjasama menjaga kebersihan rumah setiap hujung minggu. Jika ada peruntukan lebih, anda boleh mengupah seseorang untuk membersihkan kediaman seperti memotong rumput di halaman, membersihkan longkang dan mengecat semula rumah.

- Sumber dari NUR -