Selasa, 4 Jun 2013

Internet Tanpa Wayar Mula Menguasai Dunia Kerjaya

Oleh : Qistina

Teknologi kian canggih dan 'mobile internet' semakin popular. Penggunaan peranti mudah alih seperti telefon mudah alih, notebook, laptop dan PDA (Pembantu Peribadi Digital) semakin meluas. Peralatan seperti ini bukan lagi dianggap mewah atau berkos tinggi yang dahulunya hanya mampu dimiliki oleh golongan mewah atau golongan atasan. Ia kini sudah menjadi sebagai salah satu keperluan umum, tidak kira pelajar atau pekerja. Boleh dikatakan hampir separuh daripada golongan wanita bekerja atau di tahap pengurus menggunakan peralatan seperti ini.
Asasnya semua peranti ini menggunakan teknologi internet mudah alih. Teknologi seperti WAP, Bluetooth, GPRS dan 'infrared' bukan lagi sesuatu yang asing bagi masyarakat Asia, lebih hebat lagi perkembangannya yang pantas telah menjadikan ia menguasai pasaran.
Salah satu kajian yang telah dilakukan mengandaikan bahawa teknologi 'mobile internet' ini akan menguasai pasaran Asia Pasifik dengan lebih meluas berbanding negara barat. Perhubungan internet tradisi yang digunakan mendapat tempat di kalangan masyarakat Asia, termasuk Malaysia. Konsep internet bergerak yang membolehkan capaian maklumat dibuat tidak kira di mana dan melalui pelbagai peranti mudah alih seperti yang disenaraikan di atas benar-benar telah memberi keselesaan kepada penggunanya.
Terlalu banyak perkhidmatan 'mobile internet' yang mempengaruhi kehidupan seharian kita sebenarnya. Penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) melalui perkhidmatan internet kepada telefon mudah alih ataupun dari telefon mudah alih kepada telefon mudah alih yang lain sebenarnya berkonsepkan 'mobile internet'
Satu protokol berasaskan industri menetapkan cara penggunaan data dengan kemampuan terhad yang diberikan oleh peranti-peranti kecil mudah alih seperti telefon selular dan PDA. Sepertimana laman web yang dibina menggunakan satu bahasa komputer yang dipanggil HTML (Hypertext Mark-up Language), peranti mudah alih yang menggunakan teknologi WAP memerlukan bahasa pembinaan dari bahasa yang berbeza, iaitu WML (Wireless Mark-up Language).
WAP merupakan set protokol yang membolehkan pengguna peranti digital tanpa wayar mendapatkan perkhidmatan internet, menerima dan mengahantar e-mel, faks dan sebagainya melalui peranti kecil seperti telefon selular dan PDA.
Telefon selular yang berada di pasaran masa kini dibina dengan dilengkapkan bersama teknologi GSM (Global System for Mobile Communication) dengan penghantaran data 9.6 kilobit per saat. Penghantaran data yang agak perlahan ini beserta beberapa kekangan lain menyebabkan GSM tidak begitu mendapat perhatian umum lagi dengan munculnya beberapa teknologi yang lebih baik seperti GPRS (General Packet Radio Service).
Beberapa penyedia servis telekomunikasi di Malaysia juga telah mengumumkan tentang penyediaan servis GPRS oleh syarikat mereka. GPRS memberikan penghantaran data sehingga 171.2kbps yang pastinya lebih baik dari teknologi GSM. Dengan menggunakan teknologi penghantaran melalui peket, data akan dimampatkan kepada beberapa peket kecil dan dihantar kepada rangkaian. Teknologi ini membolehkan beberapa aplikasi lain dijalankan melalui internet tanpa wayar seperti penghantaran fail, automasi kediaman dan persidangan melalui video. 'Teknologi Bluetooth' pula menyediakan kawasan terhad melalui sambungan radio di antara peranti dan membenarkan penghantaran data sehingga 1Mbps.
Anda sebagai wanita masa kini yang didedahkan dengan pelbagai kemudahan dan teknologi terbaru wajar mencuba salah satu daripada kaedah penggunaan peralatan komunikasi tanpa wayar ini. Di dalam melaksanakan tugas setiap hari jika anda dapat menggunakan kemudahan yang sedia ada ini dengan betul, nescaya anda akan lebih yakin dan maju kehadapan berbanding mereka yang menganggap di dunia IT sebagai satu yang membosankan!

- Sumber dari NUR November 2002 -