Anak adalah amanah Allah kepada hambanya. Tugas memelihara dan mendidik anak-anak tidak boleh dipandang sebelah mata walaupun kita sibuk bekerja. Ramai wanita yang berkerjaya memilih untuk menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak ataupun lebih mudah meninggalkan dengan pembantu rumah di rumah.
Anak-anak yang masih kecil tidak patut ditinggalkan terlalu lama dengan pembantu rumah. Seboleh-bolehnya bagi ibu-ibu yang bekerja, elakkan daripada kerja di luar kawasan terlalu kerap dan lama sehingga anak-anak terasa diabaikan.
Menurut ustazah Nasiyah Abdul Razak, pendakwah dan juga mengasaskan Rumah Qira'ati Nurhidayah, Taman Melawati, Selangor, ibu-ibu yang bekerja pada hari ini terpaksa meninggalkan anak-anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak ataupun ditinggalkan bersama pembantu di rumah. Hal ini menyebabkan masa anak-anak untuk bersama dengan ibu bapa menjadi begitu terhad, sebaliknya lebih banyak masa dihabiskan bersama pembantu rumah atau pengasuh di pusat asuhan.
Oleh itu, sebelum menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau ditinggalkan bersama pembantu, ibu bapa mestilah memastikan anak-anak diserapkan dengan ciri-ciri keislamana seperti adab sopan dan doa-doa yang patut dijadikan amalan seharian, disamping memilih pusat asuhan atau tadika yang menitikberatkan pendidikan Islam. "Pendidikan awal daripada ibu adalah amat penting, sebaik-baiknya sewaktu dalam kandungan lagi. Sebab itu kita lihat anak-anak yang baru lahir, jarinya digenggam. Maksudnya, jangan dibuka akidah Islamiah yang ada dalam diri mereka. Itulah yang Allah janjikan apabila seseorang insan itu dilahirkan. Tetapi sekiranya tidak diberi pendidikan, maka bila-bila masa saja genggaman itu boleh terbuka." ujar Ustazah Nasiyah.
"Ajar anak-anak membaca doa dan beri pendidikan awal yang lain kerana nasihat pertama itulah yang akan dipegangnya hingga dewasa. Apabila mereka telah berkahwin dan mempunyai anak sendiri, mereka akan didik pula anak-anak mereka sebagaimana ibu mereka mendidik mereka dahulu. Mereka akan sebut kepada anak-anak mereka, bahawa nenek mereka dahulu mendidik ibu dan abah seperti ini, makan berjemaah, sembahyang berjemaah dan lain-lain. Tetapi sekiranya pendidikan itu kita tak buat, tiada apa yang mereka akan cerita nanti." sambung beliau lagi.
Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh ibu-bapa yang meninggalkan anak dengan pembantu rumah atau ke rumah asuhan
1. Menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak
Sebaik-baiknya ibu yang bekerja dapat menyediakan bekalan makanan untuk dibawa oleh anak-anak ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak. Selain dapat memastikan pemakanan anak-anak yang berkhasiat dan daripada sumber yang halal, ia juga dapat menjalin pertautan hati antara ibu dengan anak-anak.
2. Memasak sendiri dan makan bersama
Walaupun mempunyai pembantu rumah, tetapi kebanyakan ibu-ibu bekerja pada masa ini sudah faham akan tanggungjawab mereka. Apabila balik daripada bekerja, walau bagaimana penat sekalipun, cubalah memasak sendiri makanan untuk keluarga dan seterusnya makan bersama-sama.
3. Menyuapkan makanan ke mulut anak yang masih kecil
Anak-anak yang kecil perlulah disuapkan oleh ibunya sendiri bukan diserahkan tugas memberi makan itu kepada orang gaji, tidak kira walau penat macam mana sekalipun. Jangan jadikan alasan tiada masa untuk mengelak daripada melakukannya.
4. Lakukan aktiviti secara bersama
Setiap aktiviti seperti mengemas rumah, membaca, menonton televisyen atau apa sahaja hendaklah dilakukan secara bersama-sama dengan tujuan untuk mengeratkan pertautan hati dengan anak-anak dan suami yang sudah seharian tidak bertemu.
5. Jangan biarkan anak-anak tidur bersama pembantu rumah
Tidak selayaknya anak-anak tidur bersama pembantu rumah. Jika anak-anak menangis pada waktu tengah malam, ibu atau bapalah yang mesti bangun untuk melihat mereka, bukannya pembantu rumah.
Tip Mendidik Anak
1. Sabar.
Anak adalah perhiasan dalam kehidupan, tetapi disebut juga di dalam al-Quran bahawa anak dan harta itu menjadi fitnah kepada kedua ibu bapa. Oleh itu, ibu dan bapa mestilah sentiasa sabar dalam mendidik anak-anak di samping sentiasa berdoa untuk mereka.
2. Amalkan selalu doa-doa yang diamalkan oleh nabi-nabi terdahulu, misalnya;
Doa Nabi Ibrahim dalam surah Ash-Shaffaat ayat 100 yang bermaksud:"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh."
Doa dalam surah Ibrahim ayat 40-41 yang bermaksud:"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)"
Doa Nabi Sulaiman dalam surah an-Naml ayat 19 yang bermaksud:"Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh."
Apabila berdoa, maka ibu dan bapa hendaklah lebihkan berdoa untuk anak-anak berbanding doa untuk diri sendiri.
3. Hendaklah mendidik anak-anak dengan tegas sewaktu mereka masih kecil. Lebih baik ibu bercakap banyak dengan anak-anak sewaktu mereka masih kecil, kerana sekiranya sudah remaja, anak-anak tidak suka dileteri. Dan banyakkan percampuran di dalam rumah berbanding di luar rumah.
4. Hendaklah suami dan isteri saling bertolak-ansur dalam mendidik anak-anak. Kerjasama amat penting bagi suami dan isteri yang bekerja. Oleh sebab itu sebelum berkahwin, hendaklah pilih calon yang beragama dan sekufu. Insya-Allah, pasangan yang baik akan melahirkan anak-anak yang baik dan mudah pula untuk bekerjasama dalam semua hal.
5. Tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Misalnya dengan selalu bersedekah dan lain-lain. Setiap perbuatan ibu dan bapa akan menjadi contoh ikutan kepada anak-anak.
6. Didiklah anak-anak dengan sepenuh keikhlasan. Orang-orang dahulu mungkin tidak banyak amalkan doa, tetapi berkat keikhlasan mereka dalam mendidik anak-anak, maka didikan itu dipegang oleh anak-anak sehingga dewasa.
Waktu Terbaik Mendidik Anak
1. Selepas sembahyang lima waktu. Waktu ini ibu dan bapa perlu ambil kesempatan menyampaikan didikan kepada anak-anak. Seeloknya selepas sama-sama solat berjemaah.
2. Selepas membaca al-Quran. Waktu ini jiwa anak-anak sedang lembut dan mudah menerima ilmu serta didikan.
3. Sebelum anak tidur. Pesanan yang diberi kepada anak-anak sebelum mereka tidur akan memberi kesan kepada hatinya.
4. Semasa anak sedang tidur. Bercakap-cakaplah kepada anak ketika dia sedang tidur, kerana rohnya mendengar. Ini satu kaedah yang berkesan untuk melembutkan hati anak.
5. Semasa anak mandi. Waktu ini juga sesuai untuk mendidik dan menegur anak.
6. Selepas anak bermain. Waktu ini anak-anak berasa puas selepas bermain. Oleh itu jiwanya lebih bersedia untuk diisi.
Anak Tak 'Menjadi' - ujian Allah
Kadangkala berlaku juga anak-anak yang diterapkan dengan pendidikan Islam sejak kecil, tiba-tiba menjadi sebaliknya apabila meningkat remaja dan dewasa. Inilah ujian Allah kepada ibu dan bapa. Kalau pasangan ibu dan bapa itu mempunyai enam orang anak dan keenam-enam anaknya membesar menjadi anak-anak yang soleh, mungkin mereka rasa tidak lagi bangun malam untuk berdoa dan mengharapkan pada Tuhan. Kerana semua doa mereka telahpun dimakbulkan. Ujian ini perlu dihadapi dengan sabar dan berdoa kepada Allah.
Lihat kepada sejarah Nabi Nuh a.s. yang telah mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya, namun Allah uji apabila ada antara anaknya yang ingkar dan enggan mengikuti dakwah baginda. Dalam surah Hud ada disebut bagaimana Allah menegur Nabi Nuh walaupun anak sebahagian daripada kehidupannya, namun jika dia kafir, tetap bukan daripada keluarganya. Oleh hal yang demikian, perkara yang paling penting dalam mendidik anak-anak, ibu dan bapa mestilah mempunyai ilmu, bukan sahaja ilmu keduniaan, tetapi juga ilmu akhirat. Anak-anak sekarang kebanyakannya lebih pintar daripada ibu bapa mereka sendiri. Oleh itu, ibu dan bapa mesti ada ilmu bagaimana hendak mendidik mereka.
Panduan Mendidik Anak
1. Tegas dan berleterlah jika perlu
Ibu-ibu mestilah tegas dalam mendidik anak-anak. Biarlah ibu berleter kepada anak-anak sewaktu mereka kecil, kerana ia lebih baik daripada berleter semasa mereka sudah melangkah ke alam remaja. Anak-anak remaja tidak suka dileteri dan boleh menyebabkan mereka lari meninggalkan rumah.
2. Utamakan disiplin
Dalam mendidik anak-anak, kita mesti seimbang. Disiplin perlu diajar sejak mereka kecil tetapi tidak bermakna kita mengongkong kehidupan mereka. Mereka juga mahu menikmati zaman kanak-kanak seperti mana kanak-kanak lain. Biarkan jadual untuk anak-anak membahagikan masa dan pastikan mereka mematuhinya.
3. Susah dahulu, senang kemudian
Sebaik-baikya anak-anak dididik dengan kesusahan terlebih dahulu, kerana kesusahan itu mengajar erti kehidupan. Anak-anak yang diberi kesenangan awal, mereka akan merasa sukar untuk menerima kesusahan atau cabaran di masa akan datang.
- Sumber NUR Pengenalan -