Isnin, 11 Jun 2012

Aisyah Ummul Mukminin

Selain menjadi isteri kepada Rasulullah, Aisyah binti Abu Bakar merupakan seorang wanita yang memiliki pelbagai kepakaran dan ilmu pengetahuan. Sejarah Islam tidak pernah melupakan wanita agung ini kerana beliau merupakan idola wanita yang hidup sezaman dengannya dan juga sesudah itu.

Sebagai muslimah, wajar kita menjadikan Aisyah idola dalam mencari kehidupan yang syumul di dunia dan di akhirat. Sewaktu hayatnya, Aisyah telah memperlihatkan pencapaian tinggi dalam bidang ilmu dan pemikiran. Beliau menjadi pakar rujuk dalam bidang hadis dan sunnah, menjadi pedoman kepada muslimin dalam menyempurnakan urusan agamanya. Aisyah dikatakan mewarisi keperibadian ayahandanya Syaidina Abu Bakar As Siddiq, beliau juga merupakan isteri Rasulullah yang paling dicintai baginda.

Aisyah memasuki Madrasah Nabawiyah ketika berumur sembilan tahun apabila berkahwin dengan Rasulullah. Hidup bersama Rasulullah selama sembilan tahun, Aisyah banyak meriwayatkan ilmu dari baginda.

Aisyah lahir sebagai Islam, beliau muda lapan tahun dari puteri kedua Rasulullah, Fatimah. Aisyah digelar Al Humaira (mawar merah) kerana memiliki wajah yang begitu cantik. Beliau satu-satunya isteri Rasulullah yang masih gadis ketika berkahwin dengan baginda. Baginda sangat mencintai Aisyah. Ia pernah diriwayatkan oleh Imam Az Zahabi ketika Amr bin Al Ash bertanya baginda: "Siapakah orang yang paling baginda cintai?" Baginda menjawab: "Aisyah". Kemudian Amr bertanya lagi: "Siapakah di kalangan lelaki yang paling baginda cintai?" Baginda menjawab: "Ayah Aisyah".

Imam Az Zahabi juga meriwayatkan ramai orang memilihkan hadiah pada hari khusus untuk Aisyah. Keistimewaan lain yang dimiliki Aisyah ialah sembilan perkara yang telah diberikan kepada Maryam binti Imran, ibunda Nabi Isa. Keistimewaan dan keutamaan tersebut disebutkan Aisyah sebagai:
1. "Malaikat Jibril pernah turun dengan membawa berita tentang diriku, dan Rasulullah s.a.w. disuruh mengahwiniku"
2. "Rasulullah s.a.w. berkahwin denganku ketika aku masih gadis dan baginda tidak pernah kahwin dengan perawan selain aku"
3. "Ketika Rasulullah s.a.w. meninggal dunia, kepala baginda berada di pangkuanku."
4. " Sesungguhnya aku mengubur baginda dalam rumahku"
5. "Wahyu diturunkan kepada baginda ketika baginda sedang berselimut bersamaku"
6. "Aku adalah puteri khalifah dan orang kepercayaan baginda"
7. "Diturunkan wahyu untuk menyelesaikan perkara aku iaitu membela aku dari tuduhan munafik"
8. "Aku diciptakan sebagai wanita yang baik bagi lelaki yang baik"
9. "Aku diberi janji untuk memperolehi keampunan dan rezeki yang baik"

Dengan sembilan keistimewaan itu, sudah pasti Aisyah merupakan wanita yang paling beruntung kerana mempunyai suami yang mulia di dunia dan di akhirat. Hubungan Aisyah dengan Rasulullah sangat intim dan mesra, sehingga sebagai muslim kita patut mencontohi bagaimana layanan yang diberikan Rasulullah kepada Aisyah.

Aisyah berkata : "Saya pernah bermain dengan bermacam-macam anak patung, lalu datang beberapa orang sahabat wanita saya dan mereka menjauhkan diri dan Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda keluar dan menyuruh mereka masuk, merekapun bermain-main dengan saya". Aisyah berkata lagi: "Rasulullah s.a.w. pernah masuk ke tempat saya ketika saya sedang bermain-main dengan beberapa anak patung, lalu baginda bertanya: "Apakah ini wahai Aisyah?", saya menjawab, "Ini kuda Salman yang mempunyai beberapa sayap" Lalu baginda pun tertawa" Demikianlah betapa mesranya baginda melayani Aisyah, lebih-lebih lagi ketika memperisterikannya, Aisyah masih terlalu mentah dan keanak-anakkan. Namun baginda tetap bersabar dengan kerenah isterinya.

Imam Az Zuhri meriwayatkan dari Urwah, dari Aisyah dia berkata: " Rasulullah s.a.w. pernah berdiri di depan pintu kamarku ketika orang-orang Habsyah sedang bermain anggar di masjid. Baginda melindungi saya dengan selendang baginda agar saya tidak dapat menyaksikan permainan mereka. Baginda terus sahaja melindungi saya sehingga akhirnya saya menjauh. Mereka bermain seperti wanita-wanita muda yang suka bermain."

Kecintaan Aisyah terhadap baginda Rasul menyebabkan Aisyah berasa cemburu terhadap isteri pertama Rasulullah Siti Khadijah. Aisyah pernah berkata, "Saya tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti cemburu kepada Khadijah kerana Rasulullah sering menyebutnya."

Imam Az Zahabi memberi penjelasan tentang hadis ini sebagaimana berikut: "Ini merupakan satu kecemburuan yang aneh, kerana Aisyah cemburu kepada seorang wanita tua yang sudah meninggal dunia beberapa waktu lamanya sebelum Rasulullah s.a.w. mengahwininya. Kemudian Allah SWT melindungi Aisyah daripada perasaan cemburu kepada wanita-wanita lain yang hidup bersamanya di sisi Rasulullah s.a.w. Ini merupakan bukti kasih sayang Allah kepada Rasulullah s.a.w., agar tidak terjadi pergaduhan dalam rumahtangga baginda. Mungkin juga yang meringankan kecemburuannya ini adalah kecintaan baginda yang begitu mendalam terhadapnya, kemudian Allah meredainya."

Bagaimanapun perasaan cemburu Aisyah dapat ditangani Rasulullah dengan caranya yang tersendiri. Selain kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah, Aisyah begitu gigih membela wanita dan mengangkat martabat mereka. Beliau tidak suka wanita yang melanggar hukum syarak.

Beliau pernah menghadapi wanita-wanita Himsh sambil membaca sabda Rasulullah s.a.w.: "Siapapun wanita yang melepaskan pakaiannya di luar rumah suaminya, bererti dia telah merosak tabir antara dia dengan Allah" (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Di dalam kitab Shahih Muslim disebutkan satu riwayat dari Aisyah r.a. beliau berkata: "Saya pernah dikunjungi seseorang, tetapi saya hanya mempunyai sebiji kurma. Lalu saya berikan kepadanya, kemudian dibahagikannya kepada kedua anaknya itu. Sedangkan dia sendiri tidak dapat sama sekali. Kemudian dia keluar bersama anaknya. Setelah itu Rasulullah s.a.w. datang ke rumah saya. Kemudian saya ceritakan kepada baginda tentang wanita itu. Baginda bersabda: "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu mengenai anak-anak perempuannya, kemudian dia berbuat baik kepada mereka, maka kelak mereka akan menjadi penghalang baginya dari seksaan neraka."

Abu Salamah bin Abd Rahman mengatakan: "Aku tidak mengetahui seorangpun yang lebih mengerti tentang sunnah Rasulullah s.a.w. selain daripada Aisyah."

Aisyah juga sangat bagus tentang kefahamannya tentang al-Quran. Perkara ini hanya diketahui oleh beberapa orang sahabat sahaja. Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain membantu Aisyah dalam menyebarkan ilmu agama kepada kaum muslimin. Al Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, anak saudara Aisyah mempunyai fatwa tersendiri pada zaman Abu Bakar, Umar dan Usman hinggalah beliau meninggal dunia. Semoga Allah merahmatinya.

Ibnu Abdil Barr mengatakan: "Sesungguhnya Aisyah memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bidang tafsir, hadis dan fekah, juga dalam bidang perubatan, syair dan sebagainya."

Demikianlah antara ilmu dan kebijaksanaan Aisyah, penghulu sekalian wanita muslim di dunia dan di akhirat. Semoga keperibadian indah yang dimiliki Aisyah menjadi ikutan kita semua, InsyaAllah.

- Sumber NUR Pengenalan -