Rabu, 30 Mei 2012

Panduan Hemat Berbelanja

Oleh : Hajah Rohani Dato' Hj Mohd Shahir
Pengerusi Eksekutif Hijrah Strategic Advisory Group Sdn Bhd

1. Catat segala perbelanjaan
Catat segala perbelanjaan mengikut tempoh tertentu, misalnya, perbelanjaan untuk seminggu,sebulan atau setahun. Dengan cara ini anda boleh tahu ke mana wang anda mengalir dalam tempoh tersebut dan memudahkan anda membuat simpanan.

2. Sediakan Senarai Beli Belah
Senarai beli belah ialah barang-barang yang telah dirancang untuk dibeli dan ditulis di atas kertas, sebagai panduan untuk membeli barang-barang keperluan keluarga. Tujuannya sebagai peringatan apa yang perlu dibeli, bahkan juga untuk memastikan bahawa anda tidak membeli barangan yang tidak perlu.

3. Hadkan Wang Yang Dibawa
Congak terlebih dahulu jumlah wang yang anda perlukan untuk berbelanja untuk mengelakkan anda berbelanja secara berlebihan. Sekiranya terdapat tawaran menarik mengenai sesuatu barangan, cuba buat perbandingan dengan beberapa tempat berlainan sebelum membuat keputusan.

4. Jangan Gunakan Kad Kredit
Kad kredit mendorong anda membuat pembelian secara tidak terancang dan berbelanja berlebihan. Keadaan begini boleh mendorong ke arah berlakunya inflasi.

5. Jangan Terpedaya
Pengeluar barangan mengiklankan produk keluaran mereka dengan pelbagai gaya dan bentuk. Sebagai pengguna, jangan cepat terpengaruh dengan iklan-iklan ini. Buat keputusan dan berbelanjalah dengan bijak.

6. Berhati-hati Dengan Jualan Murah
Jualan murah turut menarik dan mendorong anda berbelanja lebih. Apa yang perlu anda lakukan, berbelanjalah dengan cermat. Beli hanya jika anda memerlukan barangan berkenaan.

7. Selidik sebelum membeli
Selidik harga pasaran sebenar sebelum membuat keputusan membeli. Pastikan barangan yang dibeli adalah barangan asli.

8. Pilih kenderaan awam
Dengan cara ini menghalang anda membeli barang melebihi had, luar dari senarai.

9. Pilih waktu yang sesuai
Pilih waktu lapang yang sesuai, di mana anda mempunyai masa untuk memilih barang-barang yang dikehendaki dan tak perlu tergesa-gesa.

10. Bawa bakul kecil, bukan troli
Jangan bawa bakul yang lebih besar atau troli. Ruang yang kosong akan memberi ruang kepada anda untuk membeli barang secara berlebihan.

11. Beli ikut keperluan dan kemampuan
Jangan sesekali terpengaruh dengan cara jiran atau kawan-kawan anda berbelanja. Anda mestilah tahu kenapa dan untuk apa anda berbelanja.

12. Ketahui hak sebagai pengguna
Anda perlu faham hak anda sebagai pengguna untuk mengelakkan diri anda dari menjadi mangsa kepada peniaga-peniaga yang kurang bertanggungjawab.

Berbelanja dengan berhemat dan berkesan bukan sahaja dapat membantu anda meningkatkan nilai pendapatan malah memberi peluang kepada anda untuk merancang kehidupan yang lebih cemerlang. Berbelanjalah dengan bijak untuk kebaikan bersama.

10 Tabiat Wanita Sebagai Pembeli

1. Wanita lebih terpengaruh dengan pancaindera mereka ketika membeli barangan.
2. Wanita lebih peka pada paras dan penampilan, juga kepada keselesaan dan kemudahan yang disediakan dan ditawarkan.
3. Wanita lebih mudah terpedaya dengan muslihat jualan. Misalnya promosi jualan murah dan 'beli dua percuma satu'.
4. Wanita lebih suka dibimbing untuk membuat sesuatu keputusan belian. Mereka sering rasa tidak puas hati dengan keputusan sendiri.
5. Wanita sering menghadapi kesukaran untuk menolak sebarang tawaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga kepada mereka.
6. Wanita lebih cenderung untuk mengikuti secara dekat pembelian kumpulan-kumpulan sosial di atas taraf mereka.
7. Wanita lebih suka memiliki barangan yang berlainan daripada jiran atau rakan mereka.
8. Wanita lebih suka 'hidup mewah'.
9. Wanita lebih mudah percaya bahawa "harga yang mahal bermakna bermutu tinggi".
10. Wanita lebih baik daripada kaum lelaki dalam membuat perbandingan harga dan mutu antara kedai-kedai.