Anas r.a. berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda ; Tuntulah ilmu walau ke negeri China, sebab menuntut ilmu agama itu wajib ke atas setiap muslim. Sesungguhnya malaikat menghamparkan sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana redha atau senang dengan apa yang dituntut. (Riwayat Ibn Abdul Darr)
Bekerja sambil belajar memerlukan komitmen tinggi agar produktiviti, mutu kerja dan pelajaran tidak terjejas. Bukan itu sahaja, untuk mereka yang berkeluarga terutama wanita yang berkahwin, tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu tidak dapat diabaikan. Di sini, pasangan suami isteri tersebut perlu memahami antara satu sama lain, toleransi dan bekerjasama. Lebih elok berbincang dahulu sebelum membuat keputusan untuk sambung belajar lagi.
Untuk mereka yang belum berkeluarga, mungkin tidak banyak cabarannya berbanding dengan mereka yang sudah berkeluarga. Bukan calang-calang wanita yang mampu untuk melakukan tiga tugasan penting serentak, pelajaran, pekerjaan dan keluarga.
Persediaan fizikal dan mental harus seiring agar kesihatan tidak terjejas dengan fikiran yang lebih tenang serta emosi terkawal. Sokongan penuh dari ahli keluarga juga memainkn peranan penting untuk melakukan semua tugasan ini dengan jayanya. Akhir sekali bertawakal kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui segalanya.
- Sumber dari NUR edisi Pengenalan -