Khamis, 12 Disember 2013

Suami - syurga dan neraka isteri

9 Safar 1435

Perkahwinan adalah satu ikatan suci antara dua insan bagi mendapatkan keberkatan Allah s.w.t. Setiap pasangan masing-masing mempunyai hak ke atas pasangannya. Hak isteri ke atas suami adalah suami menjaga segala keperluan rohani dan jasmani isteri. Suami juga perlu menjaga dan mencemburui dirinya.
     Hubungan suami isteri yang baik juga merupakan hak isteri terutama dari segi bagaimana suami menggauli isterinya dan mencurahkan kasih sayang tanpa berbelah bahagi. Suami juga tidak seharusnya sengaja mencari kesalahan isterinya sebagai alasan untuk mengeruhkan hubungan. Suami juga tidak seharusnya mengkhianati hubungan suci yang terjalin.
     Bagaimanapun, suami juga mempunyai hak ke atas isterinya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa : "Lihatlah di mana kedudukanmu di sampingnya, kerana dia adalah syurgamu dan nerakamu."
     Apa yang dimaksudkan ialah sebagai isteri, muslimah perlu tahu bagaimana melayani suami kerana suami boleh diibaratkan sebagai syurga dan neraka kepada muslimah. Ini bermakna isteri selagi isteri menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri solehah, maka syurga adalah janji Allah kepadanya dan sekiranya isteri gagal  melaksanakan tanggungjawabnya kepada suami, maka neraka adalah tempat terbaik untuk isteri yang derhaka.

KEWAJIPAN ISTERI

1 Sentiasa berusaha dan mencari jalan terbaik untuk memuas dan menggembirakan hati suami. Ungkapan kata-kata lembut dan menyenangkan pasti membuatkan hati suami semakin sayang dan menghargai kehadiran anda di sisi.
2 Tahu menjaga maruah diri demi kepentingan nama suami dan keluarga. Jangan sekali-kali anda keluar tanpa meminta kebenaran dari suami. Jangan izinkan juga sebarang tetamu yang tidak dikenali masuk ke rumah tanpa izin suami.
3 Isteri juga seharusnya menghargai nikmat rezeki yang diperolehi suami dan menjaga harta sebaik mungkin serta tidak membelanjakannya sesuka hati.
4 Isteri solehah tahu menjaga dan mengurus rumah dan mengatur hidupnya tetapi bukan mengongkong.
5 Hubungan suami isteri akan lebih harmoni lagi apabila anda menghormati sanak-saudaranya. Layanan anda terhadap ibu dan bapa mertua seharusnya sama baiknya layanan anda dengan ibu kandung.
6 Jangan membocori rahsia suami atau rumahtangga kerana perbuatan itu hanya akan menjatuhkan aib anda suami isteri.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -