Selasa, 10 Disember 2013

Perkahwinan Bawah Umur

7 Safar 1435

Penulis : Salina Ibrahim

Suatu ketika dahulu, ketika menonton televisyen yang memaparkan perkahwinan kanak-kanak dalam satu masyarakat tradisi India, saya pernah ditanya, adakah hal ini turut dibenarkan dalam Islam? Ini mengingatkan saya kepada para orientalis Barat yang mengkaji mengenai Islam pernah mempertikaikan perkahwinan antara Rasulullah s.a.w. dengan Aishah Abu Bakar yang ketika itu berusia enam tahun. Malah mereka dengan berani mendakwa Rasulullah dengan gelaran yang tidak bermoral kerana dikatakan berkahwin dengan seorang 'gadis bawah umur'.
     Di Malaysia, jarang-jarang kedengaran perkahwinan di bawah umur. Ini kerana usia antara 7 sehingga 18 tahun adalah tempoh untuk setiap individu mendapatkan pendidikan asas di sekolah. Jika ada pun, ketika gadis atau pemudanya sudah menjangkau usia 15 atau 16 tahun dan sudah meninggalkan alam persekolahan masing-masing.
     Berbanding 50 tahun lalu, ketika negara masih dalam belenggu penjajahan, perkahwinan bawah umur bukan satu yang janggal waktu itu. Pun begitu, keadaan sudah berubah dan perkahwinan pada usia muda bukanlah keperluan yang begitu mendesak lagi. Malah keutamaan anak-anak remaja kini telah mengisi diri dengan ilmu sebanyak mungkin.

Faktor keselamatan
Keperluan utama dalam sesuatu perjanjian perkahwinan adalah rukun dan syarat yang menentukan sah atau tidaknya sesuatu perkahwinan. Sementara dalam undang-undang keluarga, keperluan utama sesuatu perkahwinan dikenali sebagai keupayaan untuk berkahwin (capacity of marriage). Dengan kata lain, ia merupakan kelayakan yang menentukan boleh atau tidak seseorang untuk berkahwin.
     Dengan adanya undang-undang keluarga Islam yang diwartakan di beberapa buah negara Islam seperti Mesir, Pakistan, termasuk Malaysia juga, beberapa elemen siasah syariah (pentadbiran syarak) telah diguna pakai untuk maslahat umum (kepentingan masyarakat). Antaranya merangkumi penentuan had umum minimum untuk berkahwin.
     Penentuan had umur minimum untuk berkahwin dinyatakan dengan jelas di dalam Enakmen Keluarga Islam di kebanyakan negeri di Malaysia. Dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, umpamanya, ia dinyatakan dalam seksyen 8, yang menentukan umur minimum 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Bagaimanapun jika ada yang ingin melangsungkan perkahwinan sebelum mencapai usia minimum tersebut, haruslah memohon kebenaran bertulis hakim syarie terlebih dahulu.

Cukup umur
Peruntukan yang menetapkan had umur minimum itu bukanlah bermaksud melarang sama sekali perkahwinan di bawah umur. Larangan ini sebenarnya sebagai satu faktor keselamatan terhadap gadis yang masih terlalu muda supaya tiada di kalangan mereka yang terpedaya atas muslihat perkahwinan.
     Islam secara prinsipnya tidak menghadkan had umur minimum untuk berkahwin. Walaupun agama tidak menetapkan usia minimum untuk berkahwin, tetapi masih ada ayat al-Quran yang menyebut mengenai 'cukup umur' yang mungkin boleh dijadikan rujukan. Umpamanya dalam surah an-Nisa : 6 bermaksud, "Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk melangsungkan perkahwinan. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas, maka serahkan kepada mereka hartanya."
     Secara tidak langsung, ia menjelaskan bahawa antara syarat kelayakan untuk berkahwin ialah cukup umur. Untuk menentukan cukup umur, pandangan tradisional Mazhab Syafie menyatakan umur dewasa sama dengan umur baligh. Bagi kanak-kanak perempuan, ia ditandakan dengan datangnya haid pertama, sementara bagi kanak-kanak lelaki, datang mimpi yang mengeluarkan air mani. Ketika itu, umur paling minimum bagi seorang kanak-kanak lelaki untuk berkahwin ialah 12 tahun kerana pada peringkat ini lazimnya kanak-kanak lelaki sudah dianggap mencapai peringkat bulugh an-nikah (punya keinginan untuk berkahwin atau berkeinginan seks).

Keperluan berkahwin
Beberapa tokoh ulama seperti Ibnu Syubrumah, Uthman al-Batti dan Abu Bakar al-Assam berpendapat perkahwinan kanak-kanak tidak sah kerana sesiapa pun tidak boleh menjadi wali kepadanya. Apatah lagi menurut mereka, kanak-kanak tidak mempunyai keperluan untuk berkahwin.
     Bagaimanapun ada sesetengah ulama berpendapat sebaliknya, antaranya as-Sarakhsiy. Hujah mereka ialah merujuk perkahwinan yang pernah berlaku antara Rasulullah dengan Aishah Abu Bakar, di samping terdapat penentuan tempoh idah bagi kanak-kanak yang belum datang haid. Sementara itu Imam Shafie berpendapat, perkahwinan kanak-kanak perempuan yang belum baligh hanya boleh diwalikan oleh bapa atau datuk sebelah bapa, iaitu orang yang paling layak berdasarkan susunan perwalian.
     Di negara ini buat masa sekarang, kita masih berpegang kepada peraturan yang terkandung dalam undang-undang keluarga. Setakat ini belum kedengaran kes besar yang membabitkan isu seumpama ini. Malah dalam senario sebenar, dalam usia yang masih mentah itu, anak-anak remaja kini masih dilihat berpakaian sekolah dan menggalas beg sekolah. Hakikatnya memang itulah dunia mereka sebelum melangkah ke alam seterusnya.