Khamis, 5 Disember 2013

Kewangan & Talak

2 Safar 1435

Bersama : Ustazah Farizah Md Sham

Soalan Pertama : Masalah Kewangan Bebankan Keluarga
Saya berusia 36 tahun, beristeri dan mempunyai dua orang anak yang bersekolah. Isteri saya bekerja untuk membantu kewangan rumahtangga dan saya sangat menghargai usahanya itu. Ini kerana wang gaji saya memang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan rumah, kereta dan makan-minum. Selain itu, setiap bulan, saya juga memperuntukkan sejumlah wang untuk ibu dan adik di kampung. Julai lalu, adik berjaya ke universiti dan memerlukan wang yang agak banyak. Pinjaman pelajarannya lambat diperolehi dan saya harus membantunya. Keadaan ini menjadikan beban kewangan saya semakin teruk. Kebelakangan ini, isteri sering merungut kerana dia banyak mengeluarkan wang untuk perbelanjaan rumah dan ansuran kereta. Saya runsing mendengar leterannya. Saya tidak mahu rumahtangga kami berpecah kerana masalah duit. Apa yang harus saya buat untuk memahamkannya?
Jawapan :
Untuk menyelesaikan persoalan ini, memerlukan kebijaksanaan saudara sebagai suami. Berpeganglah kepada pepatah Melayu, 'seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak'. Berikut saya kemukakan beberapa cadangan jika saudara rasa sesuai untuk dilakukan.
    Pertama, saudara sebagai suami haruslah banyak bersabar dalam menghadapi masalah ini dan mendengar leteran isteri. Yakinlah bahawa Allah menjanjikan kemenangan kepada orang yang bersabar.
    Kedua, selain punya kesabaran yang tinggi, saudara hendaklah berusaha memberikan penjelasan kepada isteri mengenai rasionalnya saudara membantu ibu dan adik di kampung. Jelaskan kepadanya bahawa ibu juga merupakan tanggungjawab anak lelaki (saudara sendiri) yang telah ditetapkan Allah swt  dalam al-Quran walaupun anak lelaki tersebut telah berkahwin.
     Ketiga, pujuklah isteri dengan lemah-lembut dan menggunakan pendekatan psikologi iaitu dengan mengatakan bahawa bantuan saudara kepada adik yang sedang belajar, hanya bersifat sementara. Apabila adik saudara telah mendapat pinjaman pelajaran nanti, keadaan akan kembali kepada normal.
     Jelaskan juga kepadanya yang diberikan kepada ibu dan adik merupakan satu sedekah yang akan mendapat pahala yang besar di akhirat, kehidupan rumahtangga akan lebih berkat dan dirahmati Allah serta rezeki akan bertambah-tambah.
     Rezeki itu tidak semestinya dalam bentuk kewangan semata-mata tetapi keselamatan, anak yang sihat dan suami yang baik, malah kebahagiaan yang kita rasai pun satu rezeki juga. Ini kerana apabila seorang ibu tersenyum menerima bantuan daripada anak-anak, itulah keberkatan hidup. Tetapi jika ibu berkecil hati dan menangis kerana anak-anak tidak membantunya, maka akan hilanglah keberkatan rumahtangga tersebut. Ekoran itu, mungkin Allah akan turunkan masalah yang besar kepada kita.
     Saya yakin, jika isteri saudara diberikan penjelasan secara baik dan jika dia seorang isteri yang taat serta sayangkan keluarga, Insyaa-Allah dia akan memahami walaupun mengambil masa yang agak lama. Yang penting, saudara sebagai suami hendaklah bijak di samping berdoa dan berusaha lebih untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Ini kerana tanggungjawab suami ialah memberikan nafkah yang cukup kepada isteri dan anak-anak. Isteri hanya membantu saudara dan saudara hendaklah sentiasa mengucapkan terima kasih dan menghargai isteri atas kerelaannya membantu saudara. Insyaa-Allah, dia akan rasa lebih dihargai dan kehidupan saudara akan diberkati serta dirahmati Allah.

Soalan Kedua : Jatuhkah Talaknya?
Rakan saya berkahwin dengan suaminya tiga tahun lepas. Tahun lepas rumahtangga mereka bermasalah dan mereka kerap bertengkar kerana rakan saya bekerja tanpa kebenaran suaminya. Pernah satu ketika, suaminya berkata, akan jatuh talak, sekiranya rakan saya ini keluar rumah (bekerja) tanpa pengetahuannya. Tidak lama kemudian, masalah rumahtangga mereka dapat diatasi. Rakan saya berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada rumahtangga. Bagaimanapun sejak dua bulan lepas sehingga sekarang, rumahtangga mereka kembali bermasalah. Suami rakan saya ini telah menghilangkan diri dan rakan saya terpaksa bekerja untuk menampung kehidupannya. Kemusykilan saya, adakah jatuh talak (yang pernah dituturkan suaminya dulu) kerana dia keluar bekerja tanpa kebenaran suaminya? Pada masa ini suami rakan saya itu masih tidak berjaya dikesan.
Jawapan :
Perkara yang berkaitan dengan hukum hakam agama Islam seperti talak, tidak boleh dipermainkan atau sesuka hati dituturkan kerana akibatnya buruk. Salah satu jenis talak ialah talak taklik, iaitu perceraian yang berlaku sekiranya terjadi perkara yang dikaitkan dengan talak tersebut. Contohnya seperti talak taklik yang dilafazkan oleh suami rakan saudari. Sekiranya rakan saudari keluar rumah untuk bekerja tanpa pengetahuan atau keizinan suaminya, maka talak telah jatuh. Ini bermakna perceraian telah berlaku, walaupun si isteri punya alasan tersendiri keluar bekerja.
     Tetapi sekiranya isteri hanya bekerja dalam rumah atau melakukan pekerjaan yang tidak menyebabkan dia keluar rumah, maka tidak jatuh talak tersebut. Umpamanya seperti bekerja mengambil upah menjahit baju di rumah atau membuat kuih-muih jualan tetapi bukan isteri yang keluar menjual sendiri.
     Sekiranya perceraian berlaku, ini merupakan balasan kepada suami yang mengambil mudah perkara yang berkaitan dengan talak serta pengajaran kepadanya yang tidak bertanggungjawab meninggalkan isteri tanpa nafkah dan khabar berita. Jika perceraian berlaku akibat cerai taklik, maka suami perlu rujuk kepada isteri jika mereka ingin bersama semula.
     Dalam masalah rakan saudari, sekiranya dia telah keluar rumah untuk bekerja tanpa pengetahuan suaminya, maka talak telah jatuh seperti yang telah ditaklikkan suaminya. Perceraian yang telah berlaku perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa iaitu jabatan agama yang berhampiran untuk mendapatkan pengesahan serta direkodkan. Tetapi sekiranya dia belum keluar rumah untuk bekerja, maka usahakanlah membuat pekerjaan yang tidak memerlukan dia keluar rumah, jika dia masih sayangkan rumahtangganya.




Sumber dari NUR Januari 2003 -