9 Muharram 1435
Oleh : Irfan Khairi
Anda tentu mempunyai akaun Facebook. Kita gunakan Facebook untuk berhubung dengan kenalan atau keluarga kita. Selain daripada blog, Facebook juga merupakan sejenis laman web yang boleh menjadi platform perniagaan anda. Tidak kira sama ada menjual produk, perkhidmatan atau informasi, Facebook boleh digunakan untuk mempromosikan perniagaan anda.
TETAPI ! Berhati-hati kerana RAMAI yang mempromosikan perniagaan mereka secara salah di Facebook. Mungkin anda pernah kena TAG gambar anda dengan promosi perniagaan orang lain bukan ? Ataupun mungkin ada mendapat message PROMOSI dari seseorang yang anda tidak kenal mengenai perniagaan mereka ?
Adakah anda suka apabila ini terjadi? Rata-ratanya ramai yang tidak suka apabila dilimpahi cara promosi sebegini. Ianya dikenali sebagai SPAMMING. Spamming Facebook bermaksud, mempromosikan sesuatu perniagaan membuta tuli kepada sesiapa sahaja di Facebook.
JANGAN lakukan ini oleh kerana seperti anda, orang lain juga turut tidak suka perbuatan sebegini. Ianya hanya menjatuhkan kredibiliti sesuatu perniagaan sekiranya melakukan spamming. Jadi, apakah caranya promosi di facebook?
Caranya adalah dengan membina jaringan dan membina kredibiliti. Jangan anggap Facebook sebagai tempat promosi perniagaan anda, tetapi anggapnya sebagai tempat membina jaringan dan kepercayaan antara anda dan bakal-bakal pelanggan anda. Perbanyakkan kongsi maklumat-maklumat yang berguna berkenaan industri anda. Contoh, sekiranya anda menjual tudung, gambar-gambar artis kegemaran anda yang mengenakan fesyen tudung, atau klip-klip video yang berkaitan sehingga video klip Maher Zain pun boleh! Bila banyak berkongsi maklumat, keyakinan dan kredibiliti dapat dibina, dan di sini, sekali sekala, baru promosikan dan beri sesuatu diskaun untuk tudung yang dijual.
Kemudian, kongsikan lebih banyak maklumat semula ! Dengan melakukan cara ini, lebih ramai akan menyertai Facebook anda dan mereka akan sukakan anda sebagai seorang usahawan! Promosi dibolehkan melalui Facebook, tetapi, jangan lakukan promosi membuta tuli sehingga orang tidak gemar kaedah anda. Lakukan 'soft selling' dengan cara banyak berkongsikan maklumat, dan hanya sekali-sekala kongsikan mengenai perniagaan anda. Tidak kira apa sahaja yang jual, kongsikan banyak maklumat dan lebihkan maklumat, lebih ramai yang akan menyertai Facebook anda dengan pantas. Dan ini merupakan prospek-prospek perniagaan anda! Melalui Facebook, anda perlu membina jenama anda sebegini untuk menjamin kejayaan perniagaan anda jangka panjang.
- Sumber dari rahsiainternet.com -
- Sumber dari rahsiainternet.com -