17 Muharram 1435
Oleh : Qistina
Apakah nama domain? Nama domain merupakan nama di dalam bentuk text bagi sesuatu alamat web. Biasanya laman web dialamatkan dengan nombor IP yang mana menyukarkan pengguna untuk mengingat bait-bait nombor tersebut. Oleh itu nama domain dapat memberikan satu nama lain yang unik bagi laman web anda.
Bagaimana sekiranya anda ingin mendapatkan nama domain? Bagaimana sekiranya anda memerlukan satu nama yang diakhiri dengan .MY di hujung nama domain tersebut? Anda hanya boleh mendaftarkan nama domain dengan MYNIC (The Malaysia Network Information Centre) yang merupakan salah satu Jabatan di Mimos Berhad di URL http://www.mynic.net . Walaubagaimanapun, sekiranya anda tidak memerlukan .my atau level pertama nama domain, anda boleh menguruskan pendaftaran nama domain tersebut di beberapa laman web lain seperti www.whoix.com dan www.domainbank.net . MYNIC menguruskan pendaftaran 6 jenis domain yang diakhiri dengan .com.my, .net.my, .org.my, .gov.my, .edu.my dan .mil.my.
Struktur penggunaan nama domain ini disusun mengikut hirarki susunan nama DNS. Susunan ini akan membolehkan mesin komputer mencari di mana host yang memegang alamat tersebut.
LEVEL 1 (TERTINGGI)
Level tertinggi di dalam struktur hierarki ini merupakan nama negara yang mengeluarkan nama domain tersebut, sebagai contoh, karangkraf.com.my .my tersebut menunjukkan bahawa laman web karangkraf dimiliki oleh salah sebuah syarikat di Malaysia.
LEVEL ke-2
Level ke-2 nama domain membawa maksud kategori atau jenis aktiviti yang dijalankan oleh pemilik nama domain. Terdapat 6 kategori domain level ke-2 iaitu
* .com.my - organisasi komersil dan yang menjalankan aktiviti biasa
* .net.my - organisasi yang mempunyai rangkaian dan aktiviti
* .org.my - organisasi yang tidak termasuk di dalam kategori-kategori yang disenaraikan ini
* .edu.my - organisasi berasaskan kerajaan
* .mil.my - organisasi tentera
LEVEL ke-3
Level ke-3 nama domain pula terpulang kepada pengguna untuk memilih. Biasanya sesebuah syarikat akan menggunakan nama syarikat tersebut pada level ke-3 ini Bagaimanapun, nama produk yang dihasilkan, jenama, ataupun tanda perdagangan untuk diletakkan pada nama domain level ke-3. Nama domain level ke-3 ini boleh mengandungi dari 1 hingga 40 alfanumerik.
Pendaftaran
Harga pendaftaran bagi nama domain ini cuma RM100 sahaja. Pengguna perlu memperbaharui pendaftaran nama domain yang dimiliki setiap tahun dengan jumlah yang sama iaitu sebanyak RM100 setahun.
Untuk memiliki nama domain yang diakhiri dengan .my, pengguna perlu menyertakan dokumen sokongan sebagai bukti pendaftaran organisasi / syarikat yang disahkan oleh sama ada ROB, ROC atau ROS. Nama domain ini bukanlah satu nama domain yang boleh dibeli sesuka hati pengguna. Tanpa bukti pendaftaran organisasi, pihak mynic boleh menolak permohonan membeli nama domain tersebut.
Bagaimanapun, untuk memiliki nama domain biasa tanpa level pertama, pengguna boleh memeriksa sama ada nama domain itu masih belum dimiliki oleh sesiapa dan boleh menguruskan pembelian terus dari laman-laman web seperti yang dinyatakan di atas tanpa syarat. Pembayaran secara online melalui kad kredit boleh memudahkan urusan pengguna.
- Sumber dari NUR Januari 2003 -