Bekas wartawan Daily Express British, Yvonne Ridley menjadi tajuk akhbar seluruh dunia penghujung September tahun 2001 apabila dia ditangkap di bandar Dour Baba, Jalalabad oleh puak Taliban kerana memasuki Afghanistan secara haram. Penangkapannya mencetuskan pelbagai kontroversi sehingga memaksa banyak pihak campur tangan termasuk Perdana Menteri Britain ketika itu, Tony Blair, sehinggalah dia dibebaskan selepas 10 hari dalam tahanan.
Pengalaman Ridley sebagai tahanan dicurahkan dalam buku yang ditulisnya sendiri, berjudul In The Hands Of The Taliban terbitan Robson Books di United Kingdom yang mendapat sambutan hangat. Tidak lama selepas kejadian yang menakutkan itu, wanita ini kembali mendapat perhatian media, berikutan tersiar berita bahawa dia bercadang untuk memeluk agama Islam. Malah ada laporan akhbar, termasuk yang disiarkan di Malaysia menyatakan bahawa dia sudah memeluk Islam.
Ridley dalam wawancara dengan Islam Online Ogos 2002, bagaimanapun berkata, dia kini 'dalam perjalanan ke arah itu'. Dengan kata lain, dia masih belajar mendalami selok-belok agama Islam sebelum rasmi menerima agama Allah itu.
"Laporan akhbar yang menyebut saya sudah menjadi muslim adalah premature atau belum sampai masanya," kata Ridley.
Bagaimanapun dia mengakui sedang giat mengkaji dan mengenali Islam sebagai memenuhi janji terhadap imam Taliban yang menahannya satu ketika dahulu. Jika dulu dia mempunyai tanggapan negatif terhadap golongan muslimah, dan begitu terpengaruh dengan segala mitos yang menyatakan bahawa Islam menindas golongan wanita, Islam agama taksub dan ganas, kini Ridley berpendapat, Islam menarik dan memberikan inspirasi apabila dapat mengenali semua saudara Islam yang lain.
"Saya dapati wanita Islam sangat bijak, berpandangan luas, berani, bermotivasi, berpandangan global, mempunyai pengetahuan politik antarabangsa dan sangat memberikan perangsang. Sudah tentu ini menghapuskan mitos mengenai wanita Islam yang dikatakan pemalu, membosankan dan makhluk pendiam yang sukar dilihat dan didengar suara mereka,"katanya.
Perkara pertama yang disemak ketika dia membaca al-Quran ialah mengenai harta dan undang-undang perceraian. Malah dia begitu takjub kerana kitab itu memberikan penekanan kepada hak wanita untuk mendapatkan pendidikan dan semangat. Malah lebih daripada itu, al-Quran turut mengiktiraf beban tambahan mengenai kelahiran anak dan penyusuan yang dilakukan oleh wanita.
Ridley yang dibesarkan dalam lingkungan Kristian Protestan di England merupakan anggota koir gereja, selain pernah menjadi guru pada hari Ahad di kampungnya di utara England. Dia pernah bertugas di News Of The World, Daily Mirror, The Sunday Times, The Observer dan Independent sebelum menyertai Daily Express tahun 1999. Dia sebenarnya bukanlah wartawan yang dikenali sehinggalah kejadian yang menimpanya di Afghanistan.
Menceritakan pengalamannya dalam tahanan Taliban, Ridley mengakui berasa sangat takut. Meminjam jolokan Presiden Amerika Syarikat(AS) ketika itu, George W.Bush terhadap puak Taliban sebagai 'regim paling ganas, zalim dan pembenci wanita', katanya, dia menyangka tidak akan dapat melihat matahari terbit pada hari pertama ditahan.
"Banyak kali saya terfikir, saya akan disebat atau dipancung. Pernah sekali saya hilang sabar dan meludah serta menyumpah orang yang menangkap saya semasa dalam tahanan di Penjara Kabul. Saya fikir itu dapat mencetuskan perasaan permusuhan tetapi mereka nampak seperti terluka dan memberitahu saya bahawa saya adalah 'tetamu' dan 'saudara' mereka,"katanya.
Dilayan Dengan Sopan dan Hormat
Selepas beberapa hari ditahan dan disoal siasat di ibu pejabat Perisik Jalalabad, Ridley diberitahu dia disyaki sebagai perisik AS. Berita itu melemahkan semangatnya. Malah katanya, mereka juga menyerahkan kepadanya busana pengantin sebelum imam Taliban bertanya kesediaannya untuk memeluk Islam. Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan, dia dilayan dengan sopan dan hormat walaupun dirinya dipenjarakan.
"Saya memasuki negara mereka tanpa pasport dan visa, jadi ya, salah bersalah untuk ditangkap dan dibicarakan," katanya. Di penjara, Ridley pernah bertemu beberapa orang wanita. Enam daripadanya merupakan pekerja sosial beragama Kristian, tiga orang adalah pegawai penjara wanita di samping terdapat dua orang Afghanistan yang ditahan kerana cuba menjual karpet kepada lelaki asing.
Namun katanya, selain wanita Kristian, dua orang Amerika, dan tiga warga Jerman serta seorang Australia, tiada seorang yang boleh berbahasa Inggeris dan dia tidak berpeluang berkomunikasi dengan mereka. Bagaimanapun, dia masih ingat, penguasa penjara yang berwajah bengis dan menakutkan itu pernah merujuk isterinya di rumah sebagai 'bos'.
Selepas meninggalkan Afghanistan, Ridley berkata, dia pernah pergi ke sana sekali lagi untuk bercuti bersama anak perempuannya, Daisy yang berumur 9 tahun. Di sebuah kedai makan, dia bertembung dengan beberapa orang Taliban dan al-Qaeda, malah tiga daripadanya adalah lelaki yang menculiknya dulu.
"Salah seorangnya datang bertemu dan bercakap dengan penterjemah saya, mengapa saya datang semula ke Afghanistan. Dia bertanya adakah saya mengenali sesiapa, dan saya menjawab jika mereka mahu dikenali, itu bukan urusan saya. Mereka nampak gementar. Dia pergi dan datang semula beberapa minit kemudian lalu berkata,"Kami suka apa yang kamu katakan mengenai kami selepas kamu kembali ke London. Terima kasih kerana bercakap benar," ujarnya.
Ridley segera bersiap untuk meninggalkan tempat itu. Bagaimanapun dia diberitahu, bahawa keselamatannya dijamin jika dia bertemu mereka lain kali. Katanya lagi, orang yang paling ingin ditemui ialah Mullah Omar, Taliban Bermata Satu, yang bersemangat kepimpinan yang mengarahkan pembebasannya dan dia ingin bertanya mengapa puak Taliban melayan wanita dengan teruk sekali.
Mengulas peristiwa serangan ke atas World Trade Centre (WTC), New York pada 11 September tahun 2001, dia berkata, itu adalah peristiwa terbaik, juga yang terburuk, yang pernah menimpa dunia Islam. Katanya, walaupun ada umat Islam yang tercalar keyakinan mereka berikutan peristiwa itu, tetapi mereka harus berbangga menjadi diri sendiri dan berpegang kepada pendirian yang jitu.
"Yang menarik mengenai Islam, ialah anda mempunyai hubungan secara langsung dengan Tuhan. Anda tidak perlukan orang tengah. Salam keamanan untuk semua," katanya.
- Sumber dari NUR Disember 2002 -