19 Zulhijjah 1434
Bermadu memang pahit bagi wanita, tetapi manis bagi lelaki. Demikianlah kata-kata klise yang selalu didengar mengenai poligami. Tetapi bukan semua poligami buruk walaupun memang ada poligami yang memberikan kesan negatif kepada ramai wanita. Bagaimanapun jika ia buruk, sudah tentu Islam tidak mensyariatkannya. Malah lebih daripada itu, pensyariatan poligami juga tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Beberapa wanita berpengalaman dalam hal ini memberikan pandangan.
Saya Perlukan Teman
Hafiza Ahmad, 32
Pembantu perubatan hospital kerajaan
Memang saya tidak perlu berpoligami. Dengan pendapatan sendiri dan wang pampasan tentera yang diterima selepas allahyarham suami meninggal dunia, saya ada peruntukan yang cukup untuk diri sendiri dan dua anak. Tetapi saya perlukan seorang teman dan bapa kepada anak-anak saya. Saya tahu dia suami orang.
Saya terima keadaan itu seadanya. Saya tidak mahu wangnya, malah saya tahu dia bukanlah orang yang berduit sangat. Saya faham tanggungannya kerana dia ada lima orang anak dengan isteri pertama. Memang tidak mudah berkahwin dengan suami orang. Perkahwinan kami mendapat keizinan isteri pertama. Dia mendatangani tetapi tidak lama selepas itu, dia 'menyerang' saya melalui telefon. Tetapi saya enggan mengambil remeh hal itu. Yang penting, suami menyayangi saya dan anak-anak.
Terlanjur menyintainya
Afikah Saari, 29
Eksekutif kewangan
Tidak terniat langsung untuk mengahwininya kerana saya tahu statusnya yang sudah berkahwin. Mula-mula kami berkawan tetapi sudah-sudahnya kami jatuh cinta. Saya cuba membunuh perasan itu tetapi gagal. Si dia pula nampak begitu bersedia untuk memikul tanggungjawab dan berkali-kali ajak berkahwin. Semuanya cinta punya pasal! Bersalah terhadap isterinya? Tidak ada perasaan itu dalam hati saya. Saya mncintainya. Isterinya tahu tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan. Saya bersyukur. Kerana itu, saya tidak mahu timbulkan apa-apa masalah dengan isterinya. Asal dia tidak ganggu saya, sudahlah! Suami pulang ikut giliran. Dia bagi duit, saya ambil. Kalau tidak beri, saya juga berduit. Buat sementara ini sebelum kami ada anak sendiri, kewangan bukan masalah besar. Tetapi saya akan rancang sesuatu untuk masa depan saya dan anak-anak.
Sukar mencari lelaki bujang
Hamisah Kasim, 34
Akauntan
Dalam usia menjangkau 30-an, sukar mencari lelaki bujang. Kalau ada pun, kebanyakkannya 'budak bawah umur' yang asyik minta 'ditaja' dan berperangai kebudak-budakan. Saya pernah berkawan dengan beberapa lelaki lebih muda tetapi tidak kekal lama. Tak tahan perangai mereka - ada yang kuat cemburu dan 'angin' semacam, ada yang asyik nak kita layan dia saja, ada pula yang suka pinjam duit. Maaflah kalau begitu! Kemudian saya berkenalan dengan suami saya sekarang. Memang dia suami orang tapi saya selesa berkawan dengannya. Berkawan dengan 'lelaki berpengalaman' buat kita rasa dihormati kerana mereka memahami dan tidak mengongkong. Sudah jodoh barangkali. Mulanya saya pun tak mahu berpoligami tetapi sudah dapat yang baik, rugi pula kalau dilepaskan! Dia boleh berlaku adil, jadi apa salahnya beri peluang.
Masa untuk diri sendiri
Fadzilah Fadzil Arif, 35
Jurutera Perunding
Apa salahnya poligami jika hati berkenan. Suami pulang sekali-sekala tak mengapa kerana saya sendiri selalu sibuk dan tiada masa melayannya. Kadang-kadang kalau dia asyik berkepit dengan saya, terasa rimas juga. Saya senang kalau dia balik makan rumah isteri pertama sebab saya tak perlu masak untuknya. Saya tahu isteri pertama pun suka sebab suami selalu ada depan matanya. Saya tidak kisah dia ke sana sebab saya selalu bertugas luar daerah. Ketika mula-mula kahwin dulu, dia terpaksa buat temu janji untuk jumpa saya. Dia bising katanya, saya seperti tidak memerlukannya. Mak pun marah kerana katanya buat apa saya kahwin, kalau tak peduli suami. Saya ubah cara hidup, kurangkan kesibukan untuk luangkan masa bersama suami. Selepas dapat anak seorang, banyak masa dilebihkan untuk anak berbanding suami. Anak yang lebih penting daripada segala-galanya.
Saya "Isteri Misteri"
Rafiah Hasan, 33
Usahawan
Saya berkahwin dengan suami di selatan Thailand. Kahwin sulit-sulit, jadi tak ramai yang tahu mengenai hal kami berdua kecuali abang yang menjadi wali dan beberapa saudara mara rapat. Sudah 12 tahun kami kahwin, tapi percaya tak, kami tak pernah beraya sama. Hari raya pertama dan kedua, mesti bersama isteri pertama. Hari ketiga, baru curi-curi ke rumah saya. Malah sebenarnya perkahwinan kami belum didaftarkan di sini! Sebabnya suami yang tidak mahu. Dia perpangkat besar dalam perkhidmatan awam, bimbang perkara tersebut akan menjejaskan nama baiknya. Kalau nak mendaftar, katanya tunggulah sehingga dia bersara dua tahun lagi. Maknanya selama 14 tahunlah saya jadi 'isteri misteri'. Menyesal? Nak menyesal pun tak guna lagi sebab perkara ini dah lama berlaku. Tapi mungkin juga sampai sekarang, saya tak kahwin-kahwin juga.
Lebih baik diamkan diri
Fairuz Famee, 41
Ahli perniagaan
Menjadi isteri bukan perkara mudah, apatah lagi jika bukan yang pertama. Kalau kita buat baik, orang kata kita jahat. Kita buat jahat, lagilah orang kata. Memang serba-salah dibuatnya Saya sendiri ambil pendekatan mendiamkan diri. Masa mula-mula kahwin dengan suami 10 tahun lalu, memang dengar orang kata macam-macam. Tapi kami pekakkan telinga dan buat tak tahu saja. Sudah jodoh kami kami berdua. Lama-lama apabila kami bahagia, orang dengan sendirinya diam. Hubungan saya dengan isteri pertama tiada masalah, cuma kami tidak begitu mesra. Biasalah begitu. Tapi anak isteri pertama macam anak saya juga, begitu jugalah sebaliknya. Anak-anak diajar hormat-menghormati satu sama lain. saya kira dalam hal ini suami yang berperanan penting. Jika suami tahu mengendalikan kedua-dua isteri, masalah tentu dapat diatasi.
- Sumber dari NUR Januari 2003 -