24 Zulhijjah 1434
Bersama : Faizal Hamid
Hitam & Putih Tidak Mengecewakan
Terdapat pelbagai aliran yang sentiasa dapat diterima penggemar fesyen, antara yang popular adalah kombinasi warna hitam dan putih. Sama ada dipakai pada waktu siang atau malam, majlis rasmi atau santai (kasual), hasilnya sentiasa tidak mengecewakan, ia kontemporari, moden dan senang digayakan, serta menjadikan kita nampak lebih muda.
Perbezaan hitam dan putih (dalam rekaan fesyen) sentiasa mampu menjadikan bentuk tubuh lebih menarik, kurus dan dapat menyembunyikan kekurangan yang ada. Antara gaya yang cukup menawan adalah gabungan blaus atau kemeja putih dengan seluar hitam, pakaian hitam dipadankan aksesori putih. Kombinasi warna-warna ini juga terdapat dalam pilihan reka corak grafik, jalur, 'polka dot' dan zebra. Rekaan fesyen yang menggabungkan hitam dan putih paling sesuai digayakan dengan kasut hitam sebagai pelengkap gaya.
Pilihan Untuk Si Perut Buncit
Wanita memang sangat sensitif tentang perut mereka. Seboleh mungkin kekurangan ini ditutup. Untuk anda atau sesiapa sahaja yang mengalami masalah seperti anda, pastikan rekaan tidak memberi tumpuan yang lebih pada bahagian badan yang bermasalah (perut atau mana-mana bahagian). Kadangkala kerana terlalu mahu menyembunyikan dengan pelbagai cara, menjadikan ia lebih jelas serta menarik perhatian sinis.
Elak berpakaian sendat di pinggang. Pilih rekaan yang tidak memberikan penumpuan pada mana-mana bahagian (contohnya punggung, paha, pinggang). Baju perlulah longgar hingga bahagian pinggang (sedikit mengikut bentuk badan) dan panjangnya hingga paras punggung. Padankan baju sebegini dengan seluar potongan tirus (slim), contohnya 'capri-pants' ataupun 'pencil skirt'. Elakkan juga bertali pinggang, 'skirt' berbutang di depan dan apa jua yang memberikan penumpuan pada bahagian perut.
Pilihan lain adalah 'lower-waisted flat front pocketless pants' dan skirt dengan zip di sisi dan di belakang. Bagi sut (suit) dan gaun (dresses), pilihlah gaun 'sheath' potongan lurus dan longgar, jaket (sedikit berpinggang) paras punggung. Khas untuk anda terimalah rekaan baju 'tunic' dipadangkan dengan 'pencil skirt'. Kombinasi yang cukup praktikal, ringkas dan terkini.
Rekaan Jalur Sesuai Bentuk Badan
Pastikan anda memilih rekaan fesyen jalur yang sesuai dengan personaliti dan bentuk badan. Jalur serong membuatkan diri lebih menarik berbanding jalur melintang. Jalur melintang membuatkan anda lebih lebar, manakala jalur menegak secara visualnya memanjangkan badan. Jalur halus (thin stripes) pada 'skirt' atau seluar dapat memberikan ilusi ketinggian yang lebih dari realiti sebenar.
Feminin & Artistik
Antara koleksi pereka fesyen antarabangsa yang saya minati adalah rekaan feminin yang punyai ciri-ciri artistik, inspirasi daripada keindahan budaya global (seluruh dunia) yang pelbagai rencam. Antara rekaan yang menarik adalah 'peasant blouses' dihiasi dekorasi sulaman tangan dengan reka corak dan motif flora, 'skirt' cetak yang menggambarkan fiesta Mexico, juga corak grafik geometrik motif tradisi Aztec, serta celana dengan cetak teratai inspirasi tekstil India.
- Sumber dari NUR Januari 2003 -