Khamis, 10 Oktober 2013

Oleh : Ustazah Fariza Md Sham
Kelolaan : Salina Ibrahim

Terlalu sibuk bekerja...
SOALAN 1:
Saya isteri dan ibu kepada empat anak remaja. Sejak tujuh bulan lalu, saya bekerja di sebuah syarikat swasta untuk membantu kewangan keluarga dengan izin suami. Sejak bekerja, saya jarang menyediakan sarapan dan makan malam untuk keluarga. Kadangkala rumah tidak sempat dikemas. Kebelakangan ini suami kerap bising-bising kerana dia selalu makan luar dan ke pejabat dengan baju tidak bergosok. Apabila marah, dia akan menyebut kesal kerana membenarkan saya bekerja. Kadangkala saya membalas dan kami akan berperang dingin beberapa hari. Berdosakah saya melawan cakap suami? Dulu dia yang merestui saya bekerja. Malah sekarang, separuh urusan kewangan rumah, di bawah tanggungan saya.
Isteri Tertekan, Wangsa Maju.
JAWAPAN:
Dalam hidup berumahtangga secara adat dan kebiasaannya, urusan berkaitan masak-memasak, pakaian anak dan suami, mengemas rumah dan sebagainya, memang dilakukan wanita. Sementara suami keluar mencari nafkah dan melakukan kerja yang lebih berat. Pembahagian tugas begini adalah mengikut fitrah kejadian wanita dan lelaki kerana mereka mempunyai potensi yang berlainan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
     Menjadi surirumah adalah kerjaya sebenar wanita. Ini berdasarkan firman Allah: Dan hendaklah kamu (isteri) tinggal di dalam rumah kamu dan janganlah kamu berhias seperti orang jahiliah dahulu. (al-Ahzab:33). Ayat ini adalah perintah kepada wanita supaya tinggal di rumah. Tetapi, ketetapan ini bukan hukum yang tidak mengizinkan wanita keluar bekerja. Wanita harus keluar bekerja terutama jika darurat, menuntut ilmu dan membantu suami dalam perbelanjaan rumahtangga seperti yang puan lakukan.
     Namun begitu apabila bekerja, bukan alasan untuk wanita mengabaikan tugas asasinya sebagai pengurus rumahtangga. Walaupun sibuk dengan urusan kerja, puan wajib menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Ia perlu dilaksanakan supaya jangan sampai puan dan suami bergaduh kerana perkara seperti ini.
     Cara untuk melaksanakan dua tugas sekaligus iaitu sebagai isteri dan pekerja, memerlukan kebijaksanaan. Perlu bijak membahagikan masa dan berbincang dengan suami bagi mendapatkan kefahaman dan bantuannya bagi menyelesaikan urusan di rumah. Antara langkah yang boleh puan lakukan untuk menyelesaikan perkara ini ialah:
1 Mengambil pembantu yang datang sekali seminggu dan dibayar upah untuk membantu mengemas rumah dan menggosok baju.
2 Pada waktu malam puan boleh menyediakan bahan sarapan agar pagi esoknya, puan hanya perlu memasak tanpa mengambil masa yang panjang.
3 Pada cuti hujung minggu, cubalah memasak makanan kegemaran keluarga. Puan masih boleh memasak pada hari biasa, tetapi mungkin masakan ringkas yang tidak memerlukan masa lama. Saya pasti suami puan memahami keadaan ini dan merasakan itu lebih baik daripada terpaksa makan di kedai setiap hari.
4 Puan hendaklah bijak mencuri masa lapang bagi menyelesaikan kerja-kerja di rumah.
     Kehidupan rumahtangga memang tidak sunyi daripada pergaduhan. Namun begitu, suami isteri hendaklah bersabar jangan sampai berbalah yang membawa kepada hilang hormat isteri kepada suami. Berdosa isteri melawan cakap suami dengan kasar. Jika ada yang tidak dipersetujui, bawa berbincang dan beritahu suami secara penuh hormat.
     Jika puan telah terkasar dengan suami, segeralah memohon maaf dan berbincang dengannya secara baik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Di samping itu hendaklah sentiasa beribadat kepada Allah dan memohon doa agar puan diberi kekuatan dan kesabaran dalam menempuh dugaan hidup.

Apabila pekerjaan dicurigai...
SOALAN 2
Saya graduan universiti dan baru dua bulan menjadi pegawai pemasaran. Tugas ini memerlukan saya bertugas luar untuk bertemu dan mencari pelanggan. Bagaimanapun dengan penampilan berbaju kurung dan bertudung, saya sering dipandang serong oleh orang ramai apabila melihat saya makan tengahari atau malam dengan lelaki. Mereka sebenarnya adalah pelanggan dan menjadi tugas saya menjaga hati pelanggan. Kadangkala saya balik lewat malam dan kerap menjadi umpatan jiran tetangga. Apa yang harus saya lakukan unutk mengatasi masalah ini?
Suria Ishak, Kajang.
JAWAPAN:
Dalam Islam, wanita diharuskan bekerja untuk membantu kaum lelaki dalam pembangunan agama, negara dan bangsa. Dalam sejarah Islam sendiri, ada wanita yang keluar bekerja. Umpamanya, dua orang anak perempuan Nabi Syuib a.s. keluar bekerja mengembala kambing. Mereka dilihat oleh Nabi Musa sedang menunggu giliran untuk mengambil air dan berdiri jauh untuk tidak berasak-asak dengan kaum lelaki. Mereka melakukan pekerjaan itu kerana ayah mereka, Nabi Syuib sudah sangat tua dan tidak kuat lagi.
     Begitu juga ada segolongan wanita keluar menuntut ilmu dan bertanya masalah agama kepada Rasulullah dan jelas Rasulullah tidak melarang mereka. Malah isteri Rasulullah, Saidatina Khadijah juga merupakan usahanita yang berjaya . Bagaimanapun, untuk menjaminkan kehormatan dan keselamatan wanita, Islam menetapkan beberapa perkara yang perlu dijaga ketika keluar bekerja. Antaranya:
1 Mendapat kebenaran suami jika telah berkahwin. Jika belum berkahwin, mesti mendapat kebenaran ibu bapa.
2 Berpakaian menutup aurat dengan sempurna
3 Tidak bekerja di tempat yang terlalu bercampur-gaul dengan lelaki.
4 Tidak bekerja di pejabat atau pekerjaan yang memerlukan wanita berdua-duaan dengan lelaki.
5 Meyakini pekerjaan itu tidak menimbulkan fitnah kepada diri, rumahtangga dan masyarakat.
6 Pekerjaan itu tidak sampai terpaksa meninggalkan ibadat kepada Allah atau mengabaikan tanggungjawab rumahtangga.
     Sekiranya Suri merasakan pekerjaan itu termasuk dalam perkara yang disebutkan di atas, lebih baik cari pekerjaan yang lebih baik suasana dan menimbulkan ketenangan di hati. Jika sukar mendapatkan pekerjaan lain, Suria perlu mengelak perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan prasangka masyarakat. Jika benar terpaksa melayan pelanggan hingga perlu makan bersama, lebih baik membawa rakain lain atau beramai-ramai agar tidak timbul fitnah.
     Memang tidak manis seorang gadis makan semeja berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram. Walaupun niat baik tetapi jika perkata tersebut tidak baik, maka ia tetap jagi tidak baik. Elakkan pulang lewat malam, bukan sahaja untuk mengelakkan umpatan orang sekeliling, tetapi yang penting untuk menjaga keselamatan sebagai seorang wanita.
     Pada pandangan saya, tidak perlu Suria berada bersama pelanggan sehingga lewat malam. Yang penting dan utama dalam hidup ini adalah keredaan Allah. Insya-Allah, jika jalan yang kita lalui ini benar dan menepati ajaran Islam, kita akan mendapat rezeki dan keredhaan-Nya.


- Sumber dari NUR Disember 2002 -