18 Zulhijjah 1434
Setiap insan dilahirkan berpasangan. Ketentuan jodoh adalah urusan Tuhan cuma lambat dan cepat menjadi persoalan. Namun apabila sudah bertemu pilihan hati dan terasa serasi di jiwa sendiri, maka digalakkan pasangan yang sedang hangat bercinta mengikat hubungan dengan ikatan yang lebih suci dan halal iaitu ikatan perkahwinan. Keinginan untuk berkahwin dan mendapat zuriat adalah fitrah manusia. Sebagaimana yang difirmankan Allah SWT:
"Perkahwinan merupakan landasan membina kasih sayang (mawaddah) dan ketenteraman kepada seorang manusia (rahmah) setiap manusia termasuklah golongan rasul dan nabi dapat membebaskan diri mereka daripada keperluan asasi naluri ini." Surah al-Rum : ayat 21
Rasulullah bersabda: "Tidak ada hidup membujang dalam Islam."
Dalam satu kertas kerja yang dibentangkan dalam bengkel hak isteri kedua, Wan Mohd Nazri Wan Hassan, Peguam Syarie menyebut bahawa secara rasionalnya, isteri-isteri yang dikahwini adalah sah menerusi akad nikah mengikut hukum syarak. Dalam Islam tiada dijelaskan bahawa terdapat perbezaan hak ke atas setiap isteri berpoligami. Semuanya adalah sama di bawah hukum Allah, tiada isteri kelas pertama, kedua atau seterusnya. Sebutan nombor sebenarnya hanyalah untuk mengidentifikasikan bilangan, bukan menggambarkan kedudukan keistimewaan masing-masing.
"Salah anggap yang berlaku dalam masyarakat pada kedudukan isteri kedua dan seterusnya dipandang serong sepatutnya tidak berlaku. Sikap negatif ini banyak menimbulkan masalah dari menyelesaikannya. Perlu ada sifat jujur dalam diri kita untuk membincangkan perkara ini secara telus tanpa ada niat buruk lain. Bukan kehendak atau niat wanita tersebut untuk berpoligami tetapi mungkin itu sudah suratan takdir. Fikirkan juga ada sebahagian wanita yang menerima sepenuh hati konsep poligami ini. Islam ada menerima keperluan yang perlu dipenuhi sebelum akad nikah dijalankan. Perasaan terlalu bimbang hanya akan memakan diri sendiri," jelasnya memberi pandangan.
Pengalaman mengendalikan kes-kes rumahtangga termasuklah isu poligami, banyak memberi gambaran sebenar dilema yang dihadapi oleh wanita yang menjadi isteri kedua dan seterusnya. Ramai di antara lelaki yang mahu berkahwin lebih dari seorang kurang faham dengan hak-hak bakal isteri yang dikahwini. Kepentingan diri sendiri biasanya mengatasi semua hingga mereka terlupa tanggungjawab besar di sebalik perkahwinan.
Zalim dan aniaya jika salah konsep
Apabila masalah timbul, peguam syarie merupakan tempat rujukan yang paling wajar. Bertindak sendiri dan mendengar 'apa kata orang' biasanya hanya akan merumitkan lagi keadaan. Keinginan berkahwin lebih yang sebati dalam naluri lelaki kini menjadi budaya dan ritual dalam agama.
"Masyarakat perlu menerima poligami dengan syarat beberapa kriteria perlu dipenuhi. Ini bagi memastikan tiada berlaku penganiayaan terhadap para isteri. Hakikatnya apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah ada hikmah dan rahmatnya. Ketidakadilan dan kecuaian perlaksanaan berpoligami harus ditangani segera," katanya tegas.
Menjelaskan lagi, "Poligami adalah satu pilihan dan bukannya satu kewajipan malah Islam tidak pernah mewajibkan ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang telah beristeri satu atau lebih. Jika seseorang lelaki itu tidak mampu berlaku adil, maka dia tidak layak berpoligami dan tidak harus berpoligami. Jika lelaki tersebut masih mahu meneruskan niatnya itu, bermakna dia telah melakukan kezaliman dan berdosa terhadap Allah s.w.t. dan isteri-isterinya."
Bagi wanita yang telah nekad untuk menjadi isteri kedua atau seterusnya, keputusan yang diambil harus dibuat berdasarkan pertimbangan rasional. Mengikut Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia, terdapat dua hak berbeza yang harus difahami sedalam-dalamnya. Hak-hak tersebut ialah hak semasa perkahwinan dan hak selepas perkahwinan (bercerai).
Hak semasa perkahwinan
1 Pengesahan pernikahan di luar negara: Timbulnya masalah tertentu mendorong perkahwinan dilangsungkan di luar negara. Biasanya ia disebabkan oleh kegagalan pihak lelaki mendapatkan kebenaran isteri pertama, keengganan wali dan keengganan melalui prosedur poligami mengikut seksyen 23, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 yang dianggap rumit. Walaupun sah mengikut hukum syarak, isteri akan menerima risiko tinggi tidak diiktiraf dan status anak yang dilahirkan juga dicurigai.
2 Tuntutan nafkah: Seorang lelaki digalakkan berkahwin apabila mampu memberikan nafkah dan isteri pula berhak memperolehi nafkah tersebut iaitu zahir dan batin.
3 Tuntutan hidup bersama: Isteri yang ditinggalkan suami berhak memperolehi perintah mahkamah agar suami kembali hidup bersamanya. Jika gagal, suami akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
4 Perlindungan keselamatan diri: Kemungkinan isteri dicederakan ketika ketegangan rumahtangga berlaku tidak harus dipandang ringan. Ada sesetengah suami melakukan penderaan fizikal. Sebagai langkah keselamatan, isteri boleh memohon perlindungan di bawah seksyen 107 enakmen yang sama dalam bentuk perintah injuksi.
5 Tuntutan keadilan layanan: Ada suami yang tidak berlaku adil dan sabit kesalahan akan dikenakan hukuman sebagaimana dalam tuntutan hidup bersama. Ketidakadilan akan membawa tuntutan fasakh.
6 Perlindungan harta isteri : Desakan hidup menyebabkan suami bertindak menggunakan harta isterinya bagi menyara isteri-isteri yang lain. Isteri teraniaya tersebut boleh mengambil tindakan segera melindungi hartanya melalui perintah injuksi.
7 Tuntutan nafkah anak-anak: Anak-anak adalah amanah Allah dan menjadi tanggungjawab seorang bapa memastikan keperluan mereka dipenuhi. Kegagalan suami memberi nafkah dalam bentuk perbelanjaan dan kasih-sayang menjadikan anak mangsa keadaan. Terdapat beberapa seksyen diperuntukkan bagi menangani masalah ini.
Hak selepas perkahwinan
Tuntutan nafkah iddah : Nafkah iddah ialah hak mutlak isteri yang diceraikan dan jika tidak dibayar ia boleh dituntut sebagai hutang suami kepada bekas isterinya.
Tempat tinggal semasa iddah : Isteri yang diceraikan berhak mendiami terus rumah yang didiami semasa perkahwinan sehingga bekas suami mampu menyediakan kediaman baru yang sesuai.
Mutaah : Wanita yang diceraikan berhak menerima atau menuntut mutaah atau saguhati dari bekas suami dengan syarat perceraian bukan kerana kesalahan wanita tersebut.
Harta sepencarian : Apabila berlaku penipuan atau pembelotan harta oleh suami ke atas harta yang diperolehi bersama semasa perkahwinan, isteri berhak membuat tuntutan hak harta sepencarian menggunakan seksyen 106 enakmen yang sama.
Melindungi keselamatan diri : Bagi mengelakkan kecederaan fizikal kerana ketegangan hubungan suami isteri, wanita tersebut boleh memohon perintah injuksi terhadap bekas suami.
Tuntutan penjagaan anak : hak penjagaan anak-anak merupakan antara isu yang rumit diatasi. Namun kebiasaannya ibu lebih berhak menjaga anak-anak tersebut tertakluk kepada beberapa seksyen.
Kesimpulannya, peruntukan-peruntukan menuntut hak harus digunakan sepenuhnya agar kebajikan dan maruah para isteri terus terpelihara.
- Sumber dari NUR Januari 2003 -