Amalan berpuasa merupakan amalan yang sihat untuk setiap manusia. Hal ini sudah sering ditegaskan oleh pakar kesihatan. Bagaimanapun bagi kaum ibu ada beberapa perkara atau keadaan yang perlu diambil kira sekiranya mereka ingin menjalani ibadah puasa ini.
Pada dasarnya, menunaikan ibadah puasa tidaklah bermakna kita mengurangi jumlah makanan yang kita ambil setiap hari. Apa yang berubah hanyalah waktu kita mengambil makanan berkenaan. Jika diteliti kedudukan sarapan pagi contohnya sudah bertukar kepada makan sahur, manakala makan tengahari dan malam pula digantikan dengan waktu berbuka.
Bagi ibu hamil yang penting ialah jumlah gizi dan kalori dalam makanan yang diambil tetap terjaga. Perlu juga diingat, orang yang berpuasa dianjurkan supaya sentiasa dalam keadaan yang sihat. Itu sebabnya, doktor juga tidak sewenang-wenangnya mengizinkan pesakitnya berpuasa kalau memang tubuhnya tidak mampu. Begitu jugalah halnya dengan wanita yang hamil. Jika keadaan tubuhnya memang tidak mampu maka adalah satu kewajaran mereka berbuka puasa.
Peringkat 1
- Jaga Berat Badan
Masa kehamilan umumnya dibagi dalam tiga fasa. Iaitu trimester pertama (1-3 bulan), trimester kedua (3-6 bulan) dan trimester ketiga (6-9 bulan). Setiap trimester tadi mempunyai masalah yang berbeza-beza. Pada peringkat trimester pertama, biasanya si ibu akan merasa mual dan muntah-muntah, hingga ada ketikanya bagi mereka yang 'teruk' keadaan ini menyebabkan ibu hamil tidak boleh mengambil makanan kerana muntah yang berterusan (hyperemisis). Akibatnya, berat badan akan menurun.
Bagi golongan ibu hamil yang begini biasanya doktor tidak menggalakkan mereka menjalankan ibadah puasa. Ini adalah bertujuan mengelakkan daripada berat badannya terus turun dengan drastik. Di dalam agama Islam juga menganjurkan menunda puasa apabila keadaan kesihatannya seperti ini. Namun perlu diingati puasa yang ditinggalkan perlu diganti semula apabila keadaan si ibu sudah pulih. Kelonggaran Islam di dalam mengizinkan ibu hamil tidak berpuasa bukan hanya untuk kebaikan atau kesihatan si ibu semata-mata, lebih dari itu kelonggaran ini diberikan demi manjaga kesihatan janin yang dikandung. Kalau keadaan si ibu menurun, dikhuatiri boleh mengakibatkan kematian janin kerana kekurangan cairan.
Peringkat 2
- Berat Badan Sesuai Usia Janin
Pada trimester kedua biasanya si ibu sudah lebih stabil keadaannya. Gangguan-gangguan yang timbul pada awal kehamilan juga sudah mula berkurangan. Bagi ibu yang berada pada peringkat ini tentu sahaja mereka tidak mengalami kesukaran yang serius jika ingin berpuasa. Bagaimanapun mereka mestilah sentiasa memastikan kesihatan dalam keadaan baik dan sentiasa berada di dalam pemerhatian doktor.
Pada peringkat ini, si ibu yang hamil perlu memastikan tubuhnya tidak kekurangan cairan. Selain itu, mereka juga perlu memastikan adanya penambahan berat badan yang seimbang dengan perkembangan janin yang dikandung (sesuai usia kehamilan). Sekiranya si ibu mengalami gangguan kesihatan seperti hypertensi, adalah disarankan ibu berkenaan jangan puasa. Mungkin tubuh si ibu kuat, tetapi dia juga mesti memikirkan perkembangan janin yang dikandungnya.
Peringkat 3
- Pemeriksaan Secara Berkala
Pada trimester ketiga, tubuh ibu umumnya sudah beradaptasi dengan kondisi kehamilan. Tapi pada saat ini, ibu sudah mula melakukan persiapan persalinan dan menyusui. Ini bermakna keadaan tubuh si ibu mestilah sihat dan stabil. Waktu ini ibu yang hamil perlu sekali mengelakkan daripada berlakunya hipertensi, kekurangan cairan, mendapat bekalan makanan dan zat yang mencukupi termasuk tidak boleh diserang anemia.
Pada situasi ini sekiranya si ibu menjalani ibadah puasa, dikhuatiri ia akan mengurangkan tenaga, kualiti darah, dan menurunkan kesegaran tubuh. Namun ini tidak bererti si ibu tadi tidak boleh berpuasa. Yang penting sepanjang menjalani ibadah puasa si ibu mestilah menjaga berat badan agar tidak turun. Dan juga cairan tubuh mestilah sentiasa mencukupi.
Untuk memantaunya, ibu hamil yang berpuasa perlu secara berkala menjalani pemerhatian doktor untuk memastikan tekanan darah, kadar HB, dan perkembangan berat bayi sentiasa dalam keadaan sihat. Jangan sesekali anda culas melakukan pemeriksaan ini.
Hal lain yang perlu diperhatikan oleh ibu yang hamil ketika berpuasa ialah menghndari makanan yang terlalu berlemak atau berminyak. Makanan yang berlemak atau berminyak akan merangsang rasa dahaga. Sebaiknya, ambillah makanan yang direbus atau dibakar sahaja. Sewaktu berbuka atau di malam hari, disarankan mereka mengambil banyak air, air buah atau makanan manis yang sederhana seperti bubur atau sebagainya. Ini perlu bagi memastikan cairan dan nutrien yang diperlukan tubuh mencukupi.
- Sumber NUR November 2002 -