Isnin, 29 Julai 2013

Pengisian Bulan Ramadhan : Perkara-perkara Sunat dalam Puasa

1. Menyegerakan Berbuka.
Orang yang berbuka disunatkan untuk menyegerakan berbuka apabila telah benar-benar terbenamnya matahari. Ini sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Sahl bin Saad r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Manusia tidak akan terhapus daripada kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka."
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Agama ini tidak akan terhapus selagi mana adanya manusia yang menyegerakan berbuka."
- Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Baihaqi
Ini berbeza dengan orang Yahudi dan Nasrani yang melambat-lambatkan berbuka. Sekiranya lambat disebabkan ada halangan atau hal-hal lain, itu tidak mengapa. Tetapi, jika sengaja melambat-lambatkannya, ia adalah perkara yang dibenci kerana bertentangan dengan hadis-hadis yang disebutkan tadi.

2. Berbuka dengan Buah Kurma
Orang yang berpuasa disunatkan untuk berbuka dengan buah kurma. Sekiranya tiada, maka bolehlah digantikan dengan air.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas r.a.:
"Nabi s.a.w. akan berbuka dengan buah kurma basah (ruthob) sebelum menunaikan sembahyang, sekiranya tiada, baginda menggantikan dengan kurma kering (tamar), sekiranya tiada, baginda akan merasai sedikit air."
- Hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Daruqutni

Salman bin 'Amir r.a. berkata:
Rasulullah s.a.w. bersabda: " Apabila salah seorang daripada kamu berbuka, maka berbukalah dengan tamar. Sekiranya tiada, maka berbukalah dengan air, sesungguhnya air itu sesuatu yang bersih."
- Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi

3. Berdoa Apabila Berbuka
Orang yang berpuasa disunatkan untuk berdoa apabila masuk waktu berbuka. Doa yang selalu diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah:
"Ya ALLAH ya TUHANku, aku berpuasa untuk-MU dan atas rezeki-MU aku berbuka, hilanglah segala kehausan dan diduga dengan keletihan dan akan berkekalan balasan pahala dengan izin ALLAH SWT."
Sebagaimana yang telah diriwayatkan Muaz bin Zahrah r.h. berkata bahawa apabila Rasulullah s.a.w. berpuasa, baginda akan berbuka dimulai dengan doa:
"Ya ALLAH ya TUHANku, aku berpuasa untuk-MU dan atas rezeki-MU aku berbuka."
- Hadis riwayat Abu Daud dan Daruqutni
Ibnu Umar r.a. meriwayatkan berkata bahawa apabila Rasulullah s.a.w. berbuka, baginda akan berdoa:
"Hilanglah segala kehausan dan diduga dengan keletihan dan akan berkekalan balasan pahala dengan izin ALLAH SWT."
- Hadis riwayat Abu Daud
Orang yang berpuasa disunatkan berdoa kepada ALLAH SWT kerana ia pasti diterima oleh-NYA. Sebagaimana yang diriwayatkan Abdullah bin Amri bin Al-'As bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya doa orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka tidak akan ditolak."
- Hadis riwayat Ibnu Majah
Ibnu Amru apabila berbuka, dia akan berdoa:
"Ya ALLAH ya TUHANku dengan rahmat-MU yang ENGKAU limpahkan pada setiap kejadian, ampunilah aku."
- Athar riwayat Ibnu Majah
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiga golongan yang tidak akan ditolak doa-doa mereka: Orang yang berpuasa apabila dia berbuka, imam yang adil dan orang yang dizalimi."
- Hadis riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Ahmad

4. Memberi Makan Orang Yang Berbuka
Disunatkan untuk mengajak orang lain makan bersama-sama ketika berbuka. Lebih elok sekiranya kita memberi makanan kepada orang yang berpuasa ketika berbuka. Sekiranya tidak mencukupi untuk diri kita dan orang lain, cukuplah sekadar buah kurma, seteguk air susu.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid Al-Juhni r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang memberi orang yang berpuasa makanan, maka baginya (pemberi makanan) pahala yang sama seperti orang yang berpuasa. Tidak akan berkurangan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa itu."
- Hadis riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Baihaqi
Sebahagian sahabat berkata:
"Wahai Rasulullah, bukankah kami akan memperoleh apa yang telah diberikan kepada orang yang berpuasa?" Rasulullah s.a.w. menjawab: " ALLAH SWT akan memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk dia berbuka dalam bentuk buah kurma atau seteguk air atau sedikit susu."
- Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban

5. Bersahur
Al-Sahar bermaksud lewat malam. Manakala al-Sahur bermaksud nama makanan yang dimakan ketika bersahur seperti roti dan sebagainya. Al-Suhur pula bererti perbuatan dan kata terbitan (dalam bahasa Arab). Orang yang berpuasa disunatkan untuk bersahur iaitu makan ketika lewat malam. Sebagaimana yang diriwayatkan Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan."
- Hadis riwayat Bukhari
Kenapakah Rasulullah s.a.w. mengatakan sahur itu mempunyai keberkatan? Hakikatnya, sahur itu mampu memberikan kekuatan kepada orang yang berpuasa selain memperolehi kecergasan, kegembiraan dan keselesaan. Manakala waktu sahur merupakan waktu yang sesuai untuk mengumpul tenaga daripada makanan dna minuman yang diambil.

6. Melewatkan Sahur
Orang yang berpuasa disunatkan untuk melewatkan sahur. Sebagaimana yang diriwayatkan Aisyah r.a. setelah dikatakan kepadanya:
"Sesungguhnya Abdullah bin Mas'ud r.a. menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur. Aisyah berkata: "Begitulah yang Rasulullah s.a.w. lakukan"
- Hadis riwayat Muslim
Kita disunatkan melewatkan sahur selagi kita yakin bahawa waktu itu masih ada. Jika tidak yakin, berhenti adalah lebih baik. Waktu berhenti sahur adalah sebelum terbitnya fajar yang dikenali sebagai imsak.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Umatku tidak akan terhapus daripada kebaikan selagi dia menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur."
- Hadis riwayat Ahmad
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa:
"Nabi s.a.w. dan Zaid bin Harithah bersahur bersama-sama. Apabila selesai bersahur, Nabi bangun lalu bersembahyang. Kami bertanya kepada Anas: Berapakah jarak masa kekosongan di antara sahur dan masuknya waktu sembahyang? Anas menjawab: Kadar seorang lelaki membaca al-Quran sebanyak 50 ayat."
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

7. Mandi Hadas Besar
Orang yang berpuasa disunatkan mandi selepas berjunub sebelum terbit fajar supaya bersih bermula dari awal Ramadhan. Sekiranya dia tidak mandi, puasanya tetap sah kerana berjunub pada malam hari tidak membatalkan puasa. Tetapi seelok-eloknya disegerakan mandi.
Sebagaimana yang diriwayatkan Aisyah r.a.:
"Bahawa Nabi s.a.w. berada dalam keadaan berjunub disebabkan jimak, bukan mimpi. Kemudian baginda mandi dan berpuasa."
- Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ummu Salamah
Begitu juga diwajibkan kepada wanita untuk bersuci apabila telah kering darah haid atau nifasnya.

8. Memperbanyakkan Amalan Kebaikan
Disunatkan bagi orang yang berpuasa untuk memperbanyakkan amal kebajikan seperti sedekah dan berbelanja ke arah perkara kebaikan yang pastinya amalan-amalan itu dikurniakan ganjaran daripada ALLAH SWT. Kita juga disuruh supaya menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh dalam melakukan kebaikan pada bulan Ramadhan.
Sebagaimana yang diriwayatkan Anas r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. ditanya: Wahai Rasulullah, yang mana satukah sedekah yang paling baik? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sedekah pada bulan Ramadhan."
- Hadis riwayat Tarmizi
Selain itu disunatkan juga supaya berbaik-baik sesama kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga terutama pada sepuluh hari terahkir bulan Ramadhan agar jalinan ukhwah antara satu sama lain dapat dieratkan. Begitu juga dengan amalan membaca al-Quran dan bertadarus kerana daripadanya kita dianugerahkan pahala setiap huruf yang dibaca. Rasulullah s.a.w. semasa hayatnya juga sentiasa memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan dan baginda bertadarus bersama Jibril a.s.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.:
"Bahawa Jibril a.s. berjumpa dengan Nabi s.a.w. pada setiap tahun dalam bulan Ramadhan sehinggalah berpisah, Nabi s.a.w. membaca kepadanya al-Quran."
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Disunatkan juga untuk memperbanyakkan solat sunat dan bertahajud. Sebagaimana yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. selalu menggalakkan untuk bangun malam pada bulan Ramadhan, baginda memerintahkan sahabat-sahabatnya dengan keazaman: Barangsiapa melakukan solat malam pada saat lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala ALLAH SWT., nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Orang yang berpuasa juga disunatkan untuk beriktikaf di masjid dan diisi dengan ibadat-ibadat terutamanya pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Nabi s.a.w. juga sentiasa menantikan sepuluh malam terakhir itu. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud:
"Nabi s.a.w. bersungguh-sungguh pada sepuluh hari terakhir yang mana baginda tidak bersungguh-sungguh pada hari yang lain."
-Hadis riwayat Muslim


- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -