Kelahiran cahaya mata merupakan kurniaan serta nikmat yang tidak terhingga daripada Allah. Mereka merupakan amanah daripada-Nya, oleh itu mereka berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya yang mana sifat-sifat fitrah yang ada pada diri mereka itu harus dibimbing, dipupuk, dan dibaja agar selaras dengan tuntutan Islam yang juga merupakan agama fitrah.
Sebahagian besar ibu bapa kini cenderung memilih pusat-pusat pendidikan yang bercorak Islam untuk memberi pendidikan awal kepada anak-anak mereka. Terdapat pelbagai bentuk tadika Islam, yang memberi penekanan kepada aspek keimanan dan amalan seharian seperti sembahyang, membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran, adab-adab seharian dan lain-lain. Namun perlu diingat, dalam menjayakan proses pendidikan tersebut, ibu bapa dan persekitaran di rumah memainkan peranan yang amat penting. Amalan Islam dan nilai-nilai murni yang dipraktikkan di rumah, menjadi asas kepada pendidikan yang mereka peroleh di tadika. Menurut ustaz Wan Akasyah Wan Abd Hamid, Penolong Pengetua HEP Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Kajang yang juga seorang penceramah bebas, proses mendidik anak-anak hendaklah bermula di rumah. "Rumah merupakan tapak asas untuk mendidik anak-anak. Pendidikan semasa di tadika dan sekolah hanyalah untuk mengukuhkan pendidikan yang mereka perolehi di rumah. Sekiranya pendidikan tersebut tidak selari, maka kita bimbang anak-anak yang masih kecil itu akan menjadi keliru dan tertanya-tanya," ujar beliau.
Beliau menambah, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Sebagai ketua, bapa memainkan peranan utama, manakala ibu turut membantu dengan memberi didikan dan mencurahkan segala kasih sayang kepada anak-anak.
Secara umum, proses mendidik anak-anak dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat. Setiap peringkat mempunyai pendekatan yang berlainan, yang bersambung antara satu sama lain.
Peringkat usia 0-2 tahun
* Sebaik sahaja anak-anak lahir ke dunia, hendaklah menamakan mereka dengan nama-nama yang baik seperti Abdul Rahman, Abdul Rahim, atau nama-nama nabi, para sahabat, ulama terkenal dan lain-lain.
* Mengazankan anak di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri.
* Melakukan tahnik - memasukkan sedikit kurma yang telah dihancurkan oleh seseorang yang alim dan dihormati, ke mulut anak tersebut.
* Melakukan akikah - dua ekor kambing untuk anak lelaki, seekor kambing untuk anak perempuan. Disunatkan membuat akikah pada hari ketujuh, hari ke-14 atau selewat-lewatnya tidak melebihi umur baligh.
* Menyusukan anak-anak, dengan tidak mencampurkan susu lain pada enam bulan yang pertama. Pada waktu ini otak anak sedang berkembang dengan pesatnya.
* Pilihlah makanan yang berkhasiat, seperti susu soya, dan elakkan memberi mereka makanan segera dan makanan ringan yang tidak berkhasiat.
Peringkat usia 2-3 tahun
* Pada masa ini anak-anak sudah boleh diajar membaca. Ceritakan kisah-kisah teladan dan kisah-kisah nabi kepada mereka.
* Beri mereka peluang mencuba sendiri seberapa kerap yang boleh. Misalnya sewaktu ibu sedang membuat kuih, anak-anak juga mahu mencuba. Beri mereka peluang. Beri juga mereka permainan yang boleh membina IQ.
Peringkat usia 3 tahun
Pada waktu ini, mereka akan meniru kelakuan ibu bapa dan orang-orang yang hampir dengan mereka. Oleh itu tunjukkan contoh yang terbaik. Ibu bapa yang bijak tidak akan melepaskan peluang untuk menyemai sifat-sifat terpuji seperti menolong ibu mengangkut kain, melipat kain, menyusun buku dan lain-lain. Ajar juga adab-adab kehidupan seperti menyebut 'alhamdulillah' selepas bersin dan sebagainya.
Peringkat usia 4 tahun
*Pada waktu ini mereka suka bertanya. Ibu bapa hendaklah melayan setiap pertanyaan mereka. Tunjukkan reaksi. Mereka juga mampu menghafal surah-surah pendek.
Peringkat usia 5 tahun
* Fikiran anak-anak lebih matang pada waktu ini. Mereka sudah mampu berdikari. Galakkan mereka buat sendiri perkara-perkara mudah seperti mandi, memilih dan memakai pakaian. Ajar doa-doa yang mudah seperti doa makan, doa masuk ke tandas, doa menaiki kenderaan dan lain-lain.
- Sumber dari NUR November 2002 -
