Rabu, 10 Julai 2013

7 Tip Etika Dalam Majlis

Sepanjang bulan puasa, pastinya kita akan menerima pelbagai undangan untuk berbuka puasa sama ada majlis rasmi atau tidak. Sebagai muslimah yang mempunyai nilai pekerti tinggi, pastikan anda menjaga tertib sepanjang majlis agar tidak menjadi bahan perbualan kelak. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olek Bukhari dan Muslim : "Janganlah kamu sekali-kali mengusir orang lain dati tempat duduknya kemudian (kamu) duduk di tempatnya, tetapi berilah kelulusan dan kesempatan baginya."

Renungi tip yang diberi agar mudah anda membawa diri :

1. Ingatlah bahawa Islam mengajar penganutnya tentang norma moral, etika dan hukum. Ia merupakan tuntutan kepada umatnya melakukan sesuatu dengan sopan santun.
2. Setiap apa yang dilarang atau disuruh mempunyai kesan atau akibatnya sama ada baik atau buruk, terhormat atau tercela contohnya kaedah mengambil makanan. Seorang muslimah sebaiknya mengambil hidangan yang tidak jauh dari jangkauannya.
3. Jangan bersuara atau berbual-bual ketika mengunyah makanan. Selain itu, habiskan makanan yang ada di dalam piring anda. Oleh itu perlu diingat ambil makanan mengikut kemampuan, bukan kerana hawa nafsu.
4. Sebelum melangkah masuk ke dalam dewan makan atau ke rumah tuan rumah, ucapkan salam dengan senyuman ikhlas terukir di wajah. Jangan terus menerjah masuk ke dalam dan terus mengambil tempat duduk tetamu lain.
5. Beri laluan atau kemudahan tempat duduk kepada tetamu yang lewat tiba jika ada kekosongan berhampiran anda. Jangan biarkan tetamu tersebut berdiri sepanjang majlis diadakan. Jika anda tidak mahu duduk di hadapan maka berikanlah laluan kepada mereka yang lewat tiba untuk mengambil tempat duduk mereka.
6. Jangan lalu mencelah di antara dua orang yang sedang berbual kerana diberi laluan. Rasulullah pernah bersabda bahawa:"Seseorang tidak boleh memisahkan dua orang yang sedang berbicara tanpa izin keduanya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmidzi)
7. Berbicara dengan nada suara perlahan dengan tetamu bersebelahan atau berhampiran, jangan sehingga suara anda mengganggu perjalanan majlis.

- Sumber dari majalah NUR -