Temuduga merupakan langkah awal anda untuk memasukki alam pekerjaan. Ia juga langkah pertama yang akan menentukan kerjaya yang anda minati menjadi milik anda atau sebaliknya. Walaupun anda memiliki kelulusan dan kelayakan yang dikehendaki tetapi tidak semestinya anda berjaya di dalam temuduga yang dihadiri. Ramai antara kita yang gagal atau tampil kurang berkeyakinan dalam temuduga yang diadakan. Kita gagal menjual diri kita! Ketrampilan kita tidak meyakinkan. Dan yang pasti apa yang kita paparkan jauh dari jangkauan si penemuduga.
Berikan keutamaan kepada banyak perkara sebelum anda melangkah ke bilik temuduga. Wajah anda, keperibadian anda, gaya anda dan pertuturan anda di samping kelayakan, kebolehan dan latihan anda menjadi faktor-faktor penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan anda!
Persediaan
1. Selidik seberapa banyak yang anda dapat tentang pekerjaan yang anda pohon. Anda boleh merujuk melalui laman web, kaunselor kerjaya, pegawai bimbingan kerjaya di Perkhidmatan Pekerjaan, Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat, mereka yang bekerja dalam pekerjaan yang dipohon, bahan penerangan kerjaya yang boleh didapati dari pelbagai jabatan, firma dan perpustakaan dan mungkin bantuan daripada keluarga terdekat anda atau rakan-rakan karib anda.
2. Perhatikan sama ada anda mempunyai kelulusan akademik dan kelayakan lain seperti yang dikehendaki oleh pekerjaan yang anda pohon itu. Jangan bergantung kepada nasib semata-mata.
3. Jika anda ditemuduga untuk pekerjaan yang berkehendakkan pengetahuan atau latihan khas, anda mungkin disoal tentang perkara yang berkaitan ataupun diberi ujian untuk menilai pengalaman, kemahiran atau kepantasan anda. Dalam hal seperti ini, adalah berfaedah jika anda mengkaji semula perkara berkenaan sebelum menghadiri temuduga.
4. Anda hendaklah mengambil tahu tempat, tarikh dan masa temuduga akan diadakan dan hendaklah berada di tempat temuduga itu 10 minit sebelum temuduga bermula. Jangan sekali-kali datang lewat.
5. Berpakaian sesuai, kemas dan bersih. Jangan memakai pakaian yang terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar, menggunakan minyak wangi dan alat solek yang berlebihan.
6. Kuku jari dan kasut yang anda pakai mestilah bersih. Gunakan beg tangan atau fail biodata yang sesuai. Jangan keterlaluan.
7. Apabila anda menjawab sesuatu iklan pastikan permohonan anda itu mengandungi segala butir-butir tertentu seperti yang dikehendaki dalam iklan itu. Bersedialah menjawab soalan-soalan berkenaan dengan iklan dan kandungan surat permohonan anda itu.
8. Bawa bersama sijil asal sekolah, dokumen-dokumen asal dan surat-surat akuan asal untuk disemak oleh majikan atau penemuduga. Susun dokumen-dokumen ini mengikut susunan yang dikehendaki dan jangan digulung.
9. Sediakan nama dan butir lain mengenai dua orang yang benar-benar mengenali anda tetapi bukan saudara-mara anda, yang akan memberi perakuan terhadap diri anda. Lebih elok jika anda mendapatkan keizinan daripada mereka terlebih dahulu.
10. Apabila dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga, anda hendaklah mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum memasuki bilik temuduga itu. Jangan merasa gentar, masuk dengan hati yang tenang serta penuh yakin.
Tingkah Laku Semasa Temuduga
* Jangan gentar apabila hendak memasuki bilik temuduga. Bersikap seperti biasa. Ucapkan "Selamat Pagi" atau "Selamat Petang" atau "Assalamualaikum" mengikut kesesuaian waktu. Ini nanti akan memberi perasaan mesra di antara anda dan penemuduga.
* Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga itu tidak berbuat gerakan dahulu yang dia hendak berbuat demikian.
* Jangan duduk selagi tidak disuruh. Apabila anda disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Selesakan diri anda.
* Jangan letakkan barang, tangan atau siku anda di atas meja penemuduga.
* Jangan cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan untuk anda.
* Jangan goyang-goyangkan kaki atau menggerakkannya ke sana sini.
* Jangan pula anda cuba hendak membaca surat dan kertas lain di atas meja penemuduga itu.
* Biarkan penemuduga itu memulakan temuduga.
* Jangan menjawab soalan yang ditanyakan dengan tergopoh-gapah. Sebaliknya jawab dengan tenang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan yang anda beri itu hendaklah tepat. Jangan bercakap panjang lebar dan jangan gunakan bahasa kasar.
* Apabila bercakap pandang ke muka penemuduga itu. Jika ahli panel yang menemuduga itu lebih daripada seorang maka arahkan jawapan-jawapan anda kepada ketua panel.
* Gunakan perkataan seperti 'tuan' atau 'puan' pada orang yang tertentu dari masa ke semasa tetapi janganlah selalu menggunakannya.
* Jangan menyampuk semasa penemuduga itu sedang bercakap dan jangan sekali-kali berbalah dengannya.
* Jangan mengunyah apa-apa di dalam mulut semasa menghadiri temuduga.
* Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang tidak benar semasa sesi temuduga.
* Jika anda tidak tahu jawapan kepada soalan yang disoal itu, janganlah cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja kerana ini akan melemahkan peluang anda. Eloklah anda bercakap terus-terang bahawa anda tidak tahu jawapannya.
* Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga anda, persekolahan, kegemaran dan aktiviti anda. Jangan bercakap terlalu banyak perkara yang tidak sepatutnya.
* Jangan berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
* Jika anda pernah bekerja dahulu, berilah keterangan dengan ringkas dan tepat berkenaan dengan pekerjaan terdahulu.
* Jangan sekali-kali anda cuba hendak mencela bekas majikan anda.
* Nyatakan kelayakan dan kelulusan anda yang benar tetapi jangan membesar-besarkan perkara itu.
* Anda hendaklah mengetahui serba sedikit akan tugas-tugas yang bersabit dengan pekerjaan itu, masa yang dijangka harus bekerja dan gaji yang akan dibayar pada permulaan.
* Bersedialah untuk memberitahu kadar gaji yang anda ingin. Walau bagaimanapun biarlah penemuduga itu mengemukakan perkara itu terlebih dahulu.
* Jika penemuduga tidak menyatakan tarikh yang sepatutnya anda mengetahui keputusan temuduga itu, eloklah anda bertanya supaya anda boleh datang lagi ke pejabatnya untuk mengetahui keputusan itu. Jika ia bersetuju tanyakan tarikh dan masa yang sesuai baginya.
* Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
* Ucapkan terima kasih kepada penemuduga kerana memberi peluang kepada anda menyertai temuduga itu.
* Ingat sebagai muslimah, selalulah berdoa dan berserah kepada Allah. Amalkan doa yang boleh melembutkan hati penemuduga yang anda akan hadapi.
Penilaian Temuduga
Dalam temuduga lazimnya penemuduga akan menilai diri anda dalam perkara-perkara seperti yang dijadualkan di bawah:
1. Paras rupa fizikal
Kekemasan dan cara berpakaian
2. Tingkah laku
Perlakuan am, kesopanan, gaya dan ketenangan.
3. Kepetahan bertutur
Tenang, kelancaran penyampaian, perbendaharaan katadan pemilihan perkataan dan penyampaian yang jelas.
4. Keyakinan
Keyakinan diri, kematangan sikap dan pendapat, ketabahan dan kepastian.
5. Kewibawaan
Personaliti yang tegas lagi bertenaga, keupayaan untuk meyakinkan dan mempertahankan hujah.
6. Motivasi
Desakan, kesungguhan, penyertaan dalam perbualan dan perbincangan.
7. Pembawaan
Kemesraan dan kemampuan bergaul, perangai, berfikiran luas, kawalan emosi.
8. Kecerdasan
Keupayaan analitikal, kecekapan menjawab, mentaakul, membina dan berfikir logik.
9. Pengetahuan
Berhubung dengan kelayakan dan pengalaman
- Sumber dari majalah NUR -