Rabu, 6 November 2013

Resolusi Diet Tahun Baru

2 Muharram 1435

Tahun baru menjelang lagi. Bagaimana dengan azam anda tahun lepas? Masih adakah yang belum dipenuhi? Mungkinkah anda termasuk di antara mereka yang menyimpan azam untuk menurunkan 5 kg dari berat badan anda, namun sehingga masuk tahun baru, berat anda tetap ataupun lebih memburukkan keadaan ia  semakin meningkat.
     Jangan putus asa, mungkin selama ini anda tidak ada pembimbing. Program diet yang anda lakukan hanya sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. Bersama saya apa kata kali ini tetapkan pendirian dan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi resolusi diet anda pada tahun ini.
     Berdiet tidak semudah menyebutnya. Ramai di antara kita yang berkobar-kobar untuk menurunkan berat badan pada awal tahun namun amat sedikit yang berjaya mencapai matlamat mereka. Majoriti yang lain terkandas di tengah jalan. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh sebuah agensi pemasaran menunjukkan 38 peratus daripada populasi di Amerika berazam untuk berdiet tetapi hanya seorang daripada 5 orang sahaja yang akan berjaya untuk jangka masa panjang.
     Semangat yang berkobar-kobar untuk menurunkan berat badan tidak perlu ditunggu hingga menjelangnya tahun baru. Ini kerana masuk sahaja bulan seterusnya, semangat itu menjadi semakin pudar. Keazaman untuk menurunkan berat badan sebenarnya perlu datang dari dalam diri individu itu sendiri. Seorang pakar psikologi klinikal mencadangkan agar kita meluangkan masa antara 2 hingga 3 minit sehari menilai matlamat dan sebab untuk menurunkan berat badan.
     Apakah motivasi yang mendorong kita untuk menurunkan berat badan? Adakah untuk meningkatkan taraf kesihatan atau menambah stamina atau meningkatkan keyakinan diri? Fikirkan dengan tenang dan kemudian bayangkan anda berjaya... Wajah anda yang penuh ceria dengan berat badan yang ideal.
     Antara kesilapan yang sering kita lakukan ialah menganggap usaha kita hanya untuk satu jangka masa yang tertentu sahaja iaitu sehingga kita berjaya mencapai sasaran. Untuk itu, kita selalu menyatakan bahawa kita sedang berdiet.
     Apabila kita menyebut perkataan diet, di minda kita hanya untuk satu tempoh yang singkat. Jika kita tidak berjaya mencapai sasaran, kita akan mudah berputus asa. Yang terbaik ialah dengan menganggap bahawa sudah sampai masanya untuk kita berubah dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Dengan ini, kita akan sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan secara berterusan. Penurunan berat badan seterusnya dianggap sebagai satu faedah bag mereka yang mengamalkan cara hidup sihat.

10 Tip Mencapai Resolusi

1 Ketahui sebab sebenar mengapa anda ingin menurunkan berat badan.
Sentiasa mengingati apakah sebenarnya motivasi anda untuk menurunkan berat badan. Tentunya bukan sekadar untuk melihat jarum alat penimbang menunjukkan angka yang semakin kurang. Pasti ada yang lebih utama seperti meningkatkan keyakinan diri.

2 Sentiasa beringat
Peruntukan sedikit masa setiap hari untuk mengukuhkan resolusi anda. Fokuskan kepada apa yang anda lakukan pada hari itu untuk mencapai matlamat anda. Misalnya jika anda perlu menghadiri kenduri perkahwinan rakan baik anda hari ini. Rancangkan agar anda tidak makan dengan keterlaluan dengan memastikan anda tidak menghadiri kenduri itu dengan perut yang kosong.

3 Memahami bahawa motivasi ada pasang surutnya
Pastinya anda pernah mengalami keadaan yang mana anda rasakan sudah bosan untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Terima hakikat tersebut. Aturkan aktiviti lain bersama rakan anda. Mungkin dengan menonton wayang atau melakukan aktiviti riadah. Elakkan daripada merasa bosan dan tinggal sendirian kerana ini mungkin menyebabkan anda makan makanan yang tidak sepatutnya.

4 Menghadapi hari yang tidak baik (bad day) secara positif
Sekiranya anda tidak dapat mengawal selera anda pada satu hari, jangan putus asa dan terus mengabaikan rancangan anda untuk mengabaikan pemakanan sihat. Sebaliknya terima hakikat itu dan kembali mengikut rancangan asal anda.

5 Menerima kenyataan bahawa ia merupakan satu rancangan jangka panjang bukan tempoh yang singkat.
Bersabar agar anda mampu meneruskan azam dan memenuhi matlamat anda.

6 Menetapkan matlamat yang realistik.
Berat badan anda tidak akan turun semalaman. Jadi tetapkan matlamat yang realistik dan mampu dicapai. Misalnya, berat badan anda 64kg. Berat badan yang bersesuaian pula ialah 56 kg. Jika matlamat anda untuk mencapai 56 kg, bermakna anda perlu menghilangkan sebanyak 8 kg. Hmm... agak sukar dan anda tidak pasti bila boleh mencapainya. Oleh itu adalah lebih realistik untuk menurunkan berat kepada 60 kg dalam jangka masa 2 bulan. Sekiranya anda berjaya, tentunya ia membuatkan anda lebih bersemangat untuk mengurangkan berat yang berlebihan.

7 Cari rakan yang boleh memberikan sokongan
Kajian terbaru menunjukkan dengan adanya sokongan rakan dan keluarga, peluang anda untuk berjaya adalah lebih besar.

8 Jangan endahkan apa orang kata
Sebenarnya, mereka yang mempersendakan anda iri hati dengan keazaman anda meneruskan resolusi diet tahun baru. Oleh kerana mereka tidak berupaya untuk turut serta, mereka memperkecilkan usaha anda. Maklumlah, jika anda telah berjaya langsing, mereka akan terasa ketinggalan.

9 Anda perlukan masa untuk diri anda
Wanita masa kini memegang banyak peranan. Sebagai wanita muda yang bekerjaya, kita juga berperanan sebagai anak, isteri dan ibu. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan tugas sehingga tiada masa untuk diri sendiri. Masanya telah tiba untuk meletakkan diri anda sebagai priority utama. Peruntukkan masa untuk bersenam dan beriadah. Jadikan kesihatan sebagai salah satu objektif penting. Jika anda tidak mengambil berat tentang diri anda, anda tidak akan dapat mengambil berat tentang orang lain.

10 Raikan kejayaan anda
Jangan teragak-agak untuk meraikan kejayaan anda mencapai matlamat jangka pendek. Biarpun anda baru berjaya menurunkan 2kg dalam masa sebulan, tiada salahnya untuk anda raikan kejayaan anda. Mungkin hadiahkan diri anda dengan haruman baru, atau baju yang telah lama anda inginkan atau memanjakan diri anda di pusat kecantikan untuk rawatan wajah.

Jadi sekarang bagaimana? Saya harap anda dapat menghasilkan sesuatu yang positif untuk diri anda sepanjang tahun baru ini.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -