1 Muharram 1435
Apa perkara paling lazim menjelang tahun baru? Bukan puasa atau raya, bukan juga buka sekolah, tetapi ya, tentu sekali azam baru ! Lumrahnya, apabila datangnya tahun baru, kita baca dan lihat pelbagai azam baru di televisyen, majalah atau akhbar hasil wawancara dengan sekecil-kecil anak yang sudah tahu apa itu azam sehinggalah orang dewasa. Atau dengan kata lain, itulah detik yang paling ideal untuk melihat seseorang menjadi 'orang baru'.
Pelbagai azam yang canggih-canggih boleh kita dengar sehingga kadang kala kita tersenyum seorang diri. Ada yang mahu mengumpul wang untuk 'membina masjid', ada yang mahu 'membesarkan keluarga', ada yang berhasrat untuk menjadi insan yang lebih baik, ada yang berazam mahu tambah isteri, malah ada yang berazam untuk melangsingkan tubuh. Semua azam kedengarannya baik belaka kerana terminologi azam sendiri membawa kronotasi yang positif dan menuju ke arah budaya yang cemerlang.
Tidak salah memasang azam kerana ia juga satu bentuk niat. Jika berazam baik, maknanya kita berniat baik. Apabila berniat baik, tetap dapat pahala. walaupun amalan yang diniatkan itu masih belum dilaksanakan. Tetapi sekurang-kurangnya, sedikit yang terdetik dalam hati itu, sudah dapat dilihat Tuhan dan diberikan ganjaran. Azam bukanlah suatu yang tersurat semata-mata. Tetapi sebenarnya ia merangkumi nilai yang bersifat universal yang dimiliki setiap manusia. Sudah tentu ia lebih bermakna jika dapat dihayati segala yang tersirat jauh di dalamnya.
Namun untuk membikin azam agar menjadi kenyataan mungkin tidak semudah menuturkannya. Saya teringat kisah seorang teman yang berazam untuk melangsingkan badan pada satu ketika menjelang tahun baru. Kerana tidak mahu bersendirian menjalani rawatan kurus, dia berjaya mempengaruhi hampir kesemua wanita bersaiz besar di pejabatnya untuk turut serta dalam rancangan tersebut.
Maka wujudlah 'skim kurus berkelompok' yang sangat popular pada tahun tersebut sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakan sekerja lelaki yang lebih gemarkan wanita bersaiz besar daripada yang kecil langsing. Dalam masa tiga empat bulan sahaja, sudah ramai yang menjadi langsing. Masing-masing bangga memaparkan kemajuan mereka. Terlaksanalah sudah azam mereka untuk jadi kurus! Bagaimanapun, ketika bersua semula teman ini, saya melihat saiz tubuhnya sudah hampir kembali ke bentuk asal.
"Apa sudah jadi pada 'skim kurus berkelompok'?" Tanya saya. Dia menggeleng-geleng sambil tergelak sinis.
"Tak boleh jalan. Ramai dah 'kecundang'. Sekarang semua dan besarkan badan semula! Simpanlah untuk azam tahun depan pula," balasnya senang hati.
Cerita azam memang tidak habis di sini sahaja. Cerita azam tidak sepatutnya menjadi seperti 'kereta remote control' yang hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang disebabkan 'pemandu'nya cuai mengawal kereta yang kecil itu. Melaksanakan azam tidak semudah ia terdetik dalam hati, jika tidak disertakan disiplin dan komitmen. Disiplin dan komitmen pula tidak akan terjana dengan sendirinya dalam diri tanpa disertakan azam untuk menjayakannya.
Lihat! Bukan azam sahaja perlu disiplin dan komitmen tetapi untuk membentuk disiplin dan komitmen juga memerlukan keazaman. Dengan kata lain, elemen ini saling berkait dan memerlukan satu sama lain. Ini penting untuk memastikan azam tidak hanya tercapai pada suku tahun pertama sahaja dan bertukar menjadi abu pada setiap hujung tahun.
Berapa ramai antara kita yang menilai (atau muhasabah, kata orang Arab) tentang pencapaiannya sendiri pada hujung tahun? Berapa ramai yang bertanya semula kepada diri sendiri, adakah azam saya untuk tahun ini sudah terlangsai? Tetapi rasa-rasanya, ramai yang sudah lupa apa yang mereka azamkan pada awal tahun dulu. Jadi tidak hairanlah jika ada yang gagal melunaskan azam tersebut.
Berhutang dengan diri sendiri? Mungkin ya. Tetapi siapa peduli jika kita berhutang dengan diri sendiri, bukan? Jika berhutang dengan orang, lari ke hujung dunia pun, masih boleh diburu tetapi jika berhutang dengan diri sendiri, siapa yang akan memburu? Paling kurang kita akan menyedapkan hati sendiri dengan berkata, "Tak apa. Tahun depan, aku akan buat apa yang aku tak sempat buat tahun ini." Setakat itu sahajalah!
Mungkin tahun ini, lain pula strategi kita. Ya, cubalah. Mana tahu kalau-kalau azam yang kita azamkan tahun ini, akan berjaya ditunaikan 11 bulan dari sekarang. Berusahalah untuk menunaikan azam tetapi jangan sampai menyeksa diri dengan azam yang bukan-bukan. Selamat berazam!
- Sumber dari NUR Januari 2003 -