Penulis : Emma Masri
1. Adakah anda berdiri dengan betul?
Segala-galanya haruslah dalam keadaan normal dan bersahaja. Pastikan kedua-dua kaki dalam keadaan yang selesa bagi menampung berat badan. Semasa berdiri, anda dinasihatkan agar sentiasa mendada dengan keadaan bahu diistirehatkan. Pastikan kepala anda tegak dengan dagu mendongak sedikit ke atas serta kedua belah lengan bergantungan di kedua-dua sisi.
2. Bagaimanakah cara duduk yang baik?
Elakkan duduk di kerusi tinggi agar kaki tidak kelihatan tergantung atau kerusi rendah bagi mengelakkan lutut lebih tinggi daripada pinggang. Labuhkan punggung anda memenuhi permukaan kerusi sehingga menyentuh penyandarnya. Rapatkan lutut dan kaki agar kelihatan sejajar. Duduk tegak dalam keadaan tubuh seperti berdiri dengan dada sedikit mendada, dagu tegak dan bahu lebih santai. Apabila ingin berdiri atau duduk kembali, seimbangkan tubuh dengan meletakkan salah satu kaki di bahagian belakang kaki lagi satu sebagai sangga. Jangan labuhkan punggung anda serta merta atau menggunakan kedua-dua tangan sebagai sangga.
3. Masih sangsi dengan cara berjalan?
Apa yang penting anda perlu berjalan tegak tapi dalam keadaan santai. Gerakkan kaki perlahan ke hadapan dalam langkah yang sederhana dan pastikan kedua-dua tapak kaki sejajar serta berdekatan dengan hujung-hujung jari. Pastikan hujung kaki menyentuh lantai sebelum tumit. Ketika menaiki tangga pastikan tapak kaki terletak pada setiap anak tangga di atasnya dan angkat badan anda.