Rabu, 11 April 2012

Antara Hati Sendiri dan Terhutang Budi???

Dah lama Lina bekerja di situ. Lebih kurang 3 tahun. Masa mula-mula bekerja di situ, anak sulungnya baru berumur 8 bulan. Sekarang, dah masuk 4 tahun. Begitu setia dia bekerja dengan majikannya, kak Ilah. Majikannya semakin percaya sehinggakan memberi sepenuh kepercayaan memikul pelbagai tanggungjawab di kedai itu. Kedai insuran kenderaan. Melayan pelanggan yang datang, berurusan dengan pihak Insuran, sehinggakan akaun kedai itu pun dia kendalikan. Dia menjadi pekerja kesayangan majikannya. Pernah sekali dia mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat besar yang begitu dikenali di Malaysia. Lokasi tempat kerja baru tu terlalu hampir dengan tempat dia tinggal sekarang. Namun, dek kerana majikannya terlalu sayang untuk melepaskan pekerja yang sangat dipercayai ini, majikannya sanggup menaikkan gaji lebih tinggi daripada yang ditawarkan di tempat baru itu. Disebabkan rasa terhutang budi dengan majikan yang sudi memberi kerja di saat-saat dia memerlukan, dia dan suaminya bersetuju untuk terus bekerja di situ.

Baru sahaja melahirkan anak yang kedua. Melalui pembedahan. Sama macam anak yang pertama. Cuma kali ni teruk sangat, banyak kompilasi. Syukurlah, dapat sepasang. Seorang lelaki, seorang perempuan. Memang suka sangat. Dapat anak yang comel dan sihat. Lebih-lebih lagi bila dia dapat memberi susu badan yang banyak. Tak macam yang pertama. Maklumlah, masa tu belum ada pengalaman lagi.

Lagi dua minggu nak mula bekerja. Rasa tak sabar nak mula bekerja. Dah lama sangat bercuti. Duduk saje kat rumah sepanjang hari, bosan lak. Nak keluar, ramai yang risau pasal kesihatannya dan anaknya yang masih kecil itu. Alasan, anak baru kenal dengan dunia. Belum dapat serasikan dengan dunia luar yang pelbagai. Takut menjangkitlah dengan sakit orang luar tu ke, dan macam-macam lagi alasan yang diberikan. Duduk dengan keluarga mertua. Memang kadangkala rasa tak bebas. Rasa nak cepat-cepat je pergi kerja.

Tengah sibuk-sibuk nak bersiap-siap membuat persediaan nak pergi kerja semula, tiba-tiba dapat satu mesej dari seseorang yang pernah dia kenal selama ni. Adik pada majikan. Bolehlah dikenali adik majikan ni sebagai Roslan. Roslan pernah bekerja dengan kakaknya, kak Ilah, majikan Lina. Lina pun rasa selesa bekerja dengan Roslan. Atas bantuan Roslan juga, Lina dapat sesuaikan diri dengan bidang baru yang belum pernah dia ceburi sebelum ini. Sehingga pada satu hari, tiba-tiba berlaku pertelingkahan antara kak Ilah dan Roslan. Tak pasti apa sebabnya, Lina jadi tak berani nak masuk campur. Diamkan saje. Selama beberapa hari hubungan kak Ilah dan Roslan tak begitu baik. Tak boleh silap sikit, jadi pergaduhan dua beradik ni. Roslan banyak mengalah dengan kak Ilah sebab hormatkan kakak yang menjaga dia dari kecil selepas kematian mak kandungnya. Mulanya dia tak nak bercerita pasal punca pertelingkahan itu sehingga pada suatu hari, dia mula bercerita dengan Lina.

Katanya, bekas suami kak Ilah bercerita pasal keburukan dia nak meruntuhkan perniagaan kak Ilah. Yang sebenarnya, semua tu tak benar. Roslan kebetulan mendapat tawaran dari seorang pegawai dari syarikat Insuran membuat perniagaan Insuran sendiri. Roslan sekadar mencuba-cuba pada mulanya dengan kenalan rapat sahaja. Tak terniat langsung di hati Roslan untuk merampas perniagaan kak Ilah. Bila percubaan Roslan membuahkan hasil, bekas suami kak Ilah yang mendapat tahu dari rakan-rakan Roslan sendiri, menyebarkan fitnah kepada kak Ilah dengan tujuan untuk memporak-perandakan hubungan adik-beradik ini kerana bekas suami kak Ilah memang selalu ada rasa tak puas hati dengan Roslan. Entah apa sebabnya, tak pasti. Hubungan adik-beradik ini semakin buruk sehingga menyebabkan Roslan terpaksa keluar dari terus bekerja dengan kak Ilah lagi. Sejak itu, Lina tak bertemu lagi dengan Roslan walaupun kedai barunya dekat saje dengan kedai kakaknya.

Terperanjat Lina dengan mesej Roslan tu. Tiba-tiba Roslan mengajak Lina bekerja dengan dia. Lina rasa serba-salah disebabkan kepercayaan kak Ilah terhadap dia selama ni. Roslan kata, dia sengaja nak tolong Lina dan suami. Lina tak berapa faham dengan mesej Roslan tu. Kena janji jumpa kat mana-mana untuk bincang semula sebelum buat keputusan. Lina tak nak hubungan adik-beradik ni makin keruh dan kepercayaan kak Ilah terhadap Lina hilang sebab dianggap berpaling tadah di saat-saat getir kak Ilah ketika ini. Mesej Roslan tu seolah-olah nak tolong Lina dan suami bina perniagaan sendiri. Lina kena jumpa dengan Roslan juga untuk mendapat kepastian.

Di saat ini, kak Ilah begitu mengharapkan Lina untuk membantu perniagaan dia. Kebetulan, sejak Lina mula cuti bersalin ni, sistem Insuran menjadi tak tentu arah, buat kak Ilah makin tak faham nak buat macam mana. Kebetulan selama ni, Lina lah yang menjadi kepercayaan kak Ilah untuk fahamkan sistem insuran tu. Lina nak tolong tengokkan dari rumah terlalu terhad masanya sebab sibuk dengan anak kecil. Tak dapat nak bagi tahu apa-apa pun dalam masa yang singkat. Pernah sekali Lina bagi cadangan suruh tanya Roslan bab sistem insuran tu. Kak Ilah mungkin tak nak masuk campur hal Roslan lagi agaknya, dia kata tak nak tanyalah. Lina faham sendirilah bila dengar kak Ilah cakap macam tu. Majikan dia tak nak masuk campur lagi hal perniagaan Roslan.

Tak dapat tidur jadinya bila fikirkan mesej Roslan tu. Serba-salah antara rasa gembira sebab ada orang nak bantu membina kerjaya sendiri dan rasa terhutang budi di atas kebaikan majikan selama ini. Bercadang nak jumpa dengan Roslan esok pagi. Nak duduk berbincang secara berdepan lebih jelas. Ajak suami ikut sama supaya boleh jelas dan dapat bagi kata putus selepas itu.

Keesokkan paginya, Lina dan suami bersiap-siap untuk berjumpa dengan Roslan di kedai barunya. Setibanya mereka di sana, kelihatan Roslan memang sedang menanti-nanti kedatangan mereka berdua. Selepas mereka berbincang dan masing-masing telah berpuashati dengan segala jawapan yang diberikan, Lina mula membuat persoalan kepada Roslan.

"Roslan! Agak-agak akak boleh berterus-terang ke dengan kak Ilah?",tanya Lina yang biasa dari mula membahasakan diri dengan akak sebab umur Roslan yang lebih muda dari Lina. "Terpulanglah pada akak, nak cakap macam mana. Saya tak kisah." jawab Roslan ringkas. "Nanti kak Ilah marah dengan Roslan, macam mana? Jadi gaduh lak nanti." tanya Lina tak puas hati dengan jawapan ringkas Roslan tu. "Saya dah biasa dah, kak. Kak Ilah memang macam tu. Ingat saya nak rampas customer dia. Saya tak berniat pun macam tu. Saya memang nak tolong akak je ni. Dapat naikkan taraf hidup akak nanti. Bab kak Ilah tu, kak Lina jangan risaulah. Taulah saya nak jawap macam mana nanti." begitu mudah jawapan yang Roslan berikan pada Lina. Tapi, Lina masih tak berpuas hati sebab rasa serba-salah nak tinggalkan kak Ilah macam tu saje dalam keadaan getir ketika ini.

"Sebenarnya, akak rasa seronok bila ada orang yang bermurah hati nak tolong akak mulakan perniagaan ni. Tapi, atas dasar perikemanusiaan, akak tak sampai hati nak meninggalkan kak Ilah dalam keadaan sekarang ni. Sekurang-kurangnya, biarlah masa akak dah dapat settlekan sikit-sikit masalah kat kedai kak Ilah tu dulu ke, baru plan pergi tempat lain, kan! Lainlah kalau akak pergi kerja kat kedai lain atau syarikat besar yang lain ke.. Ini dengan Roslan, walaupun Roslan cuma bagi modal saje. Bila kak Ilah dapat tau nanti, mesti dia sedih kan!" panjang penjelasan Lina pada Roslan. "Oklah, kak! Saya pun tak nak gaduh-gaduh pun. Terpulang pada akak sendiri yang buat keputusan. Saya cuma nak tolong akak je. Mungkin akak perlukan masa untuk fikirkan semula. Saya tak kisah, kak! Bila-bila akak bersedia nanti, akak call saya." begitu jawapan Roslan pada teka-teki Lina itu.

Lina makin tersepit membuat keputusan di antara membina kerjaya sendiri dan membantu orang yang memerlukan. Apakah jawapan yang patut dia berikan untuk menjaga hati dan perasaan sendiri dan orang lain?